Vanessa
Vanessa Reynauld ( Sumber Foto: Ihsan SonyMusic )

KUALA LUMPUR – Penyanyi muda terkenal, Vanessa Reynauld tampil dengan single terbarunya berjudul Igau selepas beliau kembali dari China bagi program Sing! China 2023’.

Penyanyi yang berasal dari Klang, Selangor itu berkata lagu Igau yang mendapat sentuhan daripada penyanyi dan pengubah lagu, Naqiu mempunyai keunikannya yang tersendiri.

“Saya sangat teruja melancarkan single ini apabila dapat tahu lagu ini diciptakan khas untuk saya.

“Sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan Naqiu, kami berduet menerusi lagu Rindu Separuh Nyawa yang dijadikan sebagai runut bunyi rasmi untuk drama tempatan.

“Semenjak itu, Naqiu merasakan saya mampu menyampaikan lagu yang ‘power vocal’ dan menonjolkan lagi kebolehan vokal saya sehinggalah dia membuat keputusan untuk ciptakan lagu Igau.

“Saya amat menyukai karya IGAU ini kerana Naqiu benar-benar menstrukturkan lagu ini mengikut kesesuaian suara saya,” kata Artis Baru Terbaik di acara Anugerah Industri Muzik 23 (AIM 23) itu.

Lagu Igau mengisahkan tentang seorang wanita yang mendambakan seseorang kekasih atau pasangan yang mampu memberikan kasih sayang dan kebahagian buat selamanya.

“Bagi yang masih bujang atau belum pernah bercinta, lagu ini sesuai untuk mereka kerana ia mengisahkan tentang seseorang yang memimpikan kekasih yang boleh dijadikan pasangan hidup yang melengkapi antara satu sama yang lain.

“Saya sendiri sebelum ini pun tidak pernah mempunyai pasangan bercinta dan Naqiu pun tahu perkara ini.” katanya.

Dalam pada itu, Vanessa telah mendedahkan bahawa lagu Igau sebenarnya selesai disiapkan sekitar setahun lalu dan lagu ini memerlukan persiapan yang rapi agar lagu ini dapat diterima oleh semua orang.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *