Hoodie
Sekadar gambar hiasan ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

KEMPAS, JOHOR -Ternyata wujudnya ramai anak-anak derhaka yang bukan sahaja sanggup menempatkan orang tua mereka di pusat jagaan, malah bergembira apabila tahu mereka sudah meninggal dunia.

Harian Metro melaporkan ada yang tergamak untuk memuji Allah SWT dengan berkata “Alhamdulillah, dah mati pun ayah mak aku.”

“Segelintir waris penghuni juga gagal tampil bagi mengurus pengebumian ibu bapa mereka dengan memberi pelbagai alasan tidak munasabah.

“Selepas selesai dikebumikan, ahli keluarga akan tampil semata-mata bagi menuntut kad pesara, kad pengenalan, sijil kematian dan dokumen berkaitan.

“Malah, seorang anak kepada penghuni yang kebiasaannya akan tampil bagi mendapatkan duit poket daripada bapanya juga bersikap lepas tangan selepas menerima berita kematian bapanya,” kata Pengurus Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Norijah Bidin.

Norijah berkata Si Tanggang itu yang memiliki kereta mewah Toyota Alphard biasa datang sebulan sekali bagi mendapatkan duit poket RM200 daripada bapanya.

“Apabila kami memaklumkan bapanya sudah tiada, dia berasa lega dengan menyatakan kesyukuran.

“Akibat keluarganya tidak menunjukkan minat bagi mengendalikan urusan terakhir bapanya, kami menanggung segalanya,” katanya.

Norijah turut khuatir sekiranya sifat keji itu akan menjadi trend dan budaya generasi pada masa depan.

Katanya hanya kira-kira 30 peratus waris yang bersikap tanggungjawab bagi menjelaskan yuran bulanan yang digunakan bagi pembayaran gaji pekerja.

“Segelintir waris pula ingin berlepas tangan dengan merujuk ibu bapanya ke agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan bulanan untuk menampung yuran walaupun mereka sebenarnya mampu.

“Kos bulanan kami bagi menampung pemakanan dan penjagaan kumpulan warga emas berkenaan mencecah RM22,000.

“Saya berharap waris semua penghuni lebih bertanggungjawab demi kebajikan ibu bapa mereka,” katanya.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *