Arthur
Arthur berswafoto bersama para pelajar SMK Sapulut yang menjuarai pertandingan Pencetakan 3D Malaysia Techlympics 2023 Zon Peringkat Zon Sabah ( Sumber Foto: Ihsan MOSTI )

KOTA KINABALU, SABAH – Karnival Minggu Sains Negara (MSN) Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 Ogos 2023 telah berjaya merekodkan bilangan pengunjung melepasi sasaran yang telah ditetapkan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata karnival terbabit mencatatkan bilangan pengunjung seramai 23,311 orang.

Menurutnya, ia mengatasi jumlah kehadiran pengunjung ke Karnival MSN Negeri Johor dan Pulau Pinang yang masing-masing merekodkan kehadiran sekitar 13,000 dan 14,000 orang pengunjung.

“Jumlah tersebut secara tidak langsung mencerminkan bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) mempunyai daya tarikan dan berjaya menarik minat kanak-kanak dan para belia di Sabah untuk menguasai bidang STI bagi membolehkan mereka merebut peluag ekonomi baharu di masa akan datang.

“Dengan kehadiran yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur juga secara umumnya menggambarkan penerimaan yang positif golongan dewasa terhadap bidang STI selaras dengan peranan ibu dan bapa sebagai pencetus dan penggerak utama dalam membudayakan STI dalam kalangan generasi muda.

“Sehubungan itu, bagi mengukuhkan lagi inisiatif tersebut, MOSTI dan agensinya akan meneruskan momentum membudayakan STI dengan penganjuran Karnival Sains Borneo Siri 2 bermula pertengahan bulan September nanti,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.

Selain itu, katanya pelaksanaan inisiatif ini juga bagi memastikan usaha pembudayaan STI yang dibawa kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah tidak tertumpu ke kawasan bandar sahaja malahan turut ke peringkat akar umbi terutamanya kawasan di pedalaman negeri ini.

“Saya percaya dengan adanya pendekatan sebegini, akan mewujudkan suatu platform yang adil dan saksama bagi membolehkan anak-anak muda di luar bandar untuk mencetuskan minat mereka dalam menceburi bidang-bidang berasaskan STI.

“Pendekatan ini terbukti berjaya apabila sekolah-sekolah yang berasal dari luar bandar seperti Sekolah SMK Sapulut telah menjadi juara dalam kategori Pencetakan 3D di Pertandingan Malaysia Techlympics Peringkat Zon Sabah dan seterusnya mewakili Sabah di peringkat kebangsaan kelak.

“Sehubungan itu, saya menyeru agar masyarakat terutamanya ibu bapa, guru dan anak-anak muda untuk mengambil langkah berani dalam mencetus dan menyuburkan minat generasi muda kepada subjek berteraskan sains,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *