Fit malaysia
Shahelmey turut melepaskan peserta bagi kategori Fun Ride ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Program Jelajah Fit Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2023 menarik lebih 7,000 penyertaan dalam pelbagai acara sukan.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata inisiatif Kementerian Belia dan Sukan itu adalah satu langkah proaktif transformasi ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan’ ataupun ‘Sporting Nation’.

“Ia bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat sehingga ke akar umbi terhadap pentingnya gaya hidup aktif dan cergas.

“Melalui program sukan seumpama ini, masyarakat disantuni secara inklusif tanpa mengira kaum, agama, jantina dan keadaan fizikal bagi membentuk sebuah negara yang maju serta harmoni.

“Diharapkan acara ini juga dapat mempromosikan gaya hidup sihat sekaligus berjaya meningkatkan perpaduan di kalangan masyarakat majmuk,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Program Jelajah Fit Malaysia Peringkat Negeri Sabah, pada Ahad.

Program dua hari tersebut bermula 26 sehingga 27 Ogos turut diadakan serentak di seluruh negara dan Sabah merupakan negeri keenam dalam siri Jelajah Fit Malaysia.

Pelbagai acara diadakan antaranya Fun Ride 10 km dan 30 km, Fun Run 5 km, Fun Walk 3 km, Lompat Tali Challenge, Aerobikton, Orienteering, E-Sport, Bola Jaring, Bola Keranjang, Traditional Archery Challenge, Functional Fitness Challenge (Wod Rush), Aerobic Jam Dance Challenge dan Aerodance Battle.

Kemuncak penganjuran Fit Malaysia Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada sambutan Hari Sukan Negara (HSN) pada 14 Oktober nanti.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan dan Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Mansur Asun. — JABATAN PENERANGAN SABAH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *