Ellron
Ellron (dua dari kiri) dan Flovia (dua dari kanan) beramah mesra bersama penduduk Kampung Biah ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KENINGAU, SABAH – Masyarakat diseru bersama menghayati nilai sebuah kemerdekaan.

Menteri Belia Dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, memperbaiki diri dan berusaha meningkatkan tahap hidup di bandar mahupun di luar bandar juga adalah suatu bentuk kemerdekaan.

Ellron juga mengingatkan masyarakat agar lebih kerap mengibarkan Jalur Gemilang dan mengenalinya bagi mengelakkan kesilapan etika dalam pengibaran bendera itu.

Beliau ditemui media semasa Program Semarak Gemilang Dan Sambutan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Negeri Sabah 2023 Peringkat Daerah Kecil Sook.

Program kolaborasi Jabatan Penerangan (JaPen), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) dan Telekom Malaysia (TM) tersebut berlangsung seawal jam 8 pagi sehingga 10 malam dimeriahkan dengan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, nyanyian lagu patriotik dan Dekorasi Kek Merdeka.

Pada sebelah malam pula, persembahan artis Pentarama JaPen menutup tirai program yang diadakan di Dewan Datuk Ellron Angin Kampung Biah selepas penyerahan Jalur Gemilang kepada wakil Komuniti Madani dari sekitar daerah kecil Sook.

Turut hadir memeriahkan program tersebut, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng. — JABATAN PENERANGAN SABAH

 




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *