Gambar sekadar hiasan…

KUALA LUMPUR – Seramai 9.67 juta rakyat dari Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Terengganu menentukan masa depan negeri masing-masing hari ini.

Rakyat Terengganu bukan sahaja memilih untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tetapi juga untuk seorang ahli parlimen di Kuala Terengganu.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon PAS, Datuk Ahmad Amzad Hashim bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

UMNO Terengganu telah memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan itu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 pada 3 Januari lalu.

Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mendakwa bahawa PAS telah menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri beberapa hari sebelum PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Ahmad Amzad bagaimanapun akan cuba mengekalkan jawatan itu setelah dinamakan calon pada Julai lalu.

Sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, Pakatan Harapan (PH) menguasai Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, sementara PAS mengekalkan Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Sebanyak 17,048 saluran mengundi telah disediakan di 3,190 pusat mengundi di kesemua 245 DUN di enam negeri.

Bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu, 217 saluran mengundi disediakan di 41 pusat mengundi.

Selasa lalu, seramai 72,554 anggota tentera dan polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan masing-masing mengundi awal manakala 1,286 lagi telah mengundi bagi PRK Kuala Terengganu.

Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Hussain, polis telah menerima 1,524 laporan berhubung enam pilihan raya negeri terbabit antara 29 Julai dan 8 Ogos.

Daripada jumlah itu, beliau berkata 103 kertas siasatan telah dibuka dan empat tangkapan dibuat atas kesalahan yang sepanjang dua minggu berkempen berlangsung.

Buat pertama kalinya, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional berganding menghadap cabaran daripada Perikatan Nasional.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan pengundi mengikut cadangan masa yang digalakkan serta tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *