Anwar Ibrahim
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Sumber Foto: Laman Media Sosial Rasmi Facebook Perdana Menteri)

KUALA SELANGOR – Kerajaan bercadang untuk menyediakan dana bagi membantu menaikkan gaji pekerja di Malaysia, sebagai usaha membantu meringankan beban kos yang dihadapi rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri, selepas mengambil kira situasi di mana ada syarikat yang mengaut keuntungan hingga RM1 bilion ringgit, namun gaji pekerja mereka masih tidak dinaikkan.

“Jadi apa keputusan kita, kita kata macam mana pun dengan kos sara hidup dan inflasi walaupun rendah, tapi masih membebankan rakyat. Oleh itu kita cadang sekarang dan dah di peringkat akhir kajian, kerana kita tak boleh paksa syarikat untuk naikkan gaji pekerja, tapi boleh guna mekanisme seperti gaji minimum…

“Saya nak beritahu saudara-saudara, kita buat satu cadangan yang mengejutkan yang belum pernah terfikir oleh penyakau-penyakau PN (Perikatan Nasional). Apa dia? Kita akan sediakan sejumlah wang atau RM1 bilion hingga RM2 bilion, untuk cari jalan naikkan (gaji),” katanya.

Justeru, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata cadangan itu akan membantu menaikkan gaji pekerja dari RM2,000 ke RM2,200, dari dana yang disediakan kerajaan.

Beliau berkata sedemikian ketika memberikan ceramah pada Jelajah Perpaduan MADANI Grand Finale Kuala Selangor di Tapak Pasar Malam, Bestari Jaya malam tadi.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan boleh memberi tumpuan kepada pembangunan negara, sekiranya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu ini, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dapat mempertahankan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, serta menambah kemenangan di satu atau dua negeri lagi.

“Saya yakin kalau kita dapat perkuatkan kerajaan Selangor dan menang bergaya di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, serta dapat tembusi satu dua negeri lain, (negara) kita akan berada di kelas A kerana kita boleh tumpu pembangunan negara kita…

“Jadi saya harap kawan-kawan, kita tidak banyak masa lagi, tolong selamatkan, jangan cuai, perkara ini ialah untuk selamatkan diri, keluarga, negeri dan negara kita,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan, manakala pengundian awal pada 8 Ogos lepas.

 – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *