Ums
Kasim (tengah) bersama pelajar yang menang dalam acara yang dipertandingkan dalam karnival STEM ( Sumber Foto: Ihsan UMS )

KOTA KINABALU, SABAH – Karnival STEM 2023 yang dianjurkan sejak Mac lalu oleh Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapat sambutan yang memberangsangkan dalam kalangan pelajar sekolah.

Program itu antara lain bertujuan menyuburkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) kepada generasi muda khususnya di Sabah seterusnya melonjakkan pencapaian pelajar dalam bidang tersebut.

Di samping itu, ia juga bagi memupuk semangat berinovasi dalam diri para pelajar serta memberikan inspirasi anak-anak dalam mendepani cabaran revolusi industri 4.0 (IR 4.0).

Majlis perasmian penutupannya disempurnakan Naib Canselor Profesor Datuk Dr Kasim Mansor, di sini, pada Rabu.

Menurut Kasim, program itu amat memberangsangkan dengan 61 penyertaan dalam pertandingan Young Sci-Show Competition yang melibatkan sekolah dari Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Syabas dan tahniah juga kepada PPST kerana telah berperanan penting dalam menawarkan pengajian di peringkat pra-u dalam bidang STEM dan sekaligus mempromosikan bidang STEM kepada mereka.

“Diharapkan agar pendedahan STEM kepada pelajar dipelbagaikan dan peluang perlu sentiasa diberikan untuk mereka menerokai banyak konsep berkaitan dengan STEM,” katanya.

Untuk rekod Karnival STEM 2023 diadakan bermula Mac secara dalam talian, kemudian bersambung pada Mei secara hibrid, dan kemuncak pada bulan Ogos secara fizikal di PPST.

Hadir sama, Pengarah PPST, Dr Newati Wid; Dekan Fakulti Kejuruteraan Informatik, Profesor Dr Mohd Hanafi Ahmad Hijaz; Ketua U-Science, Zawawi Tiyunin; Timbalan Pengarah Akademik PPST, Dr Mohd Azrul Abdul Rajak; Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan Penyelidikan PPST, Dr Makdi Masnoddin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *