James
James ketika ditemui pemberita ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah memandang serius isu seorang kanak-kanak yang didera secara fizikal dalam taska menerusi paparan video rakaman CCTV yang tular, baru-baru ini.

Menteri KPMKR, Datuk James Ratib berkata pihaknya mengambil maklum mengenai kejadian yang didakwa terjadi di sebuah taska, di sini.

Susulan itu, pihaknya memutuskan akan memanggil pengusaha taska terbabit untuk memberi penjelasan terperinci mengenai perkara itu dalam tempoh terdekat ini.

“Saya selaku Menteri KPMKR amat kesal dengan kejadian tersebut. Apabila kita membuat penelitian, syarikat (taska) itu mempunyai dua lesen iaitu lesen taska dan tadika.

“Selaku KPMKR, saya akan melihat perkara ini secara serius kerana saya tidak mahu ibubapa yang menghantar anak-anak mereka ke taska dan tadika hilang kepercayaan mereka.

“Jadi saya minta agar terutamanya sekali Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) negeri ini supaya membuat satu garis panduan terutama sekali kepada pengendali taska dibawah kementerian saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, semalam.

Dalam pada itu, James turut menjelaskan pihaknya difahamkan pengasuh wanita terbabit telah mula bertugas sejak tahun 2020 lagi dan khuatir akan kemungkinan lebih ramai kanak-kanak yang telah didera sebelum ini.

Oleh itu, beliau meminta agar selepas ini JPKA selaku pengeluar lesen taska dibawah KPMKR untuk memastikan guru dan pengasuh yang diambil terdiri dari kalangan telah terlatih sepenuhnya.

“Selepas ini saya akan panggil semua pengendali taska dibawah kementerian saya untuk diberi nasihat dan memastikan supaya perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya.

James
James ketika ditemui pemberita ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *