Abidin
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

KOTA KINABALU, SABAH – Sektor perkhidmatan menjadi penyumbang utama peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri Sabah.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata pada tahun 2022, KDNK Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 3.7 peratus, berbanding 1.5 peratus pada tahun sebelumnya, dengan nilai ditambah sebanyak RM81.9 bilion.

“Pertumbuhan positif ini didorong oleh peningkatan ketara dalam sektor perkhidmatan yang merupakan penyumbang utama kepada KDNK Sabah, iaitu sebanyak 49.5 peratus dengan nilai ditambah sebanyak RM40.6 bilion.

“Pertumbuhan sektor perkhidmatan sebanyak 8.6 peratus telah dipacu oleh peningkatan prestasi subsektor utama iaitu subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan, diikuti sektor perkhidmatan kerajaan dan sektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sektor perlombongan dan pengkuarian menjadi penyumbang kedua kepada keseluruhan KDNK Sabah iaitu sebanyak 24.8 peratus dengan nilai ditambah sebanyak RM20.3 bilion.

“Walau bagaimanapun, sektor perlombongan dan pengkuarian menunjukkan penurunan pertumbuhan sebanyak negatif 1.3 peratus pada tahun 2022, berbanding 3.2 peratus tahun sebelumnya.

“Penguncupan sektor ini dipengaruhi oleh penyusutan subsektor utamanya iaitu minyak mentah dan kondesat kepada negatif 4.4 peratus dan subsektor gas asli sebanyak 8.4 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Gani Pg Amir semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata sektor pertanian merupakan sektor ketiga terbesar di Sabah dengan sumbangan sebanyak 15.2 peratus kepada keseluruhan KDNK Sabah.

“Subsektor tanaman kelapa sawit mendominasi sektor pertanian di Sabah dengan sumbangan sebanyak 9.6 peratus daripada keseluruhan KDNK Sabah, diikuti subsektor perikanan (2.5 peratus), tanaman-tanaman lain (1.3 peratus) dan ternakan (1.0 peratus).

“Sektor pembuatan merekodkan pertumbuhan negatif 2.5 peratus dengan penurunan dalam nilai ditambah kepada RM5.8 bilion berbanding RM5.9 bilion pada tahun sebelumnya.

“Manakala sektor pembinaan bertumbuh pada kadar 6.2 peratus berbanding 7.9 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *