Video
Tangkap layar klip video menunjukkan pengasuh berkenaan yang sedang memukul mangsa menggunakan objek ( Sumber Foto: Tangkap layar video tular)

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak tiga laporan polis dibuat berhubung kes dera kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Taska dan Tadika Sri Kandi di Luyang yang telah tular sejak semalam.

Ketua Polis Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata laporan masing-masing dibuat oleh ibu mangsa, pengusaha tadika dan suspek iaitu pengasuh wanita berusia 27 tahun.

Rakaman CCTV insiden pada Rabu menunjukkan wanita berkenaan menampar, menendang dan memukul seorang kanak-kanak menggunakan buku ketika waktu makan.

“Suspek mendakwa dikasari oleh bapa mangsa berumur 36 tahun ketika datang ke tadika berkenaan. Mangsa dan suspek telah dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth untuk pemeriksaan doktor.

“Dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-dua duanya sekali.

“Dan satu lagi mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara setahun atau denda tidak melebihi RM2000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Mengikut sumber, pengasuh berkenaan direman seminggu sehingga 17 Ogos selepas dibenarkan Majistret Stephanie Sherron Abbie pagi tadi.

Difahamkan beliau ditahan selepas membuat laporan polis menyatakan beliau dikasari bapa kepada mangsa.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe pagi tadi telah melawat sekolah berkenaan bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai hal tersebut.

 




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *