Jerung
Sekadar gambar hiasan ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri memandang serius terhadap mana-mana aktiviti penjualan ikan marin yang disyaki spesis terancam termasuk melibatkan ikan yu dan ikan pari dibawah Akta Perdagangan Antarabangsa mengenai spesies terancam (CITES) 2008.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berdasarkan akta CITES 2008, hanya sekitar 100 spesies yu dan pari berbanding 35,000 spesies yang tersenarai yang perlu dikawal perdagangannya melalui kuota.

“Direkodkan terdapat 147 spesies yu & pari (yu 63 dan pari 84) terdapat di perairan di perairan Malaysia termasuk di Sabah.

“Lebih kurang 13 spesies adalah tersenarai sebagai spesis terancam di bawah Akta Perikanan 1985 (Peraturan Pengawalan spesies terancam 1999) dan Akta CITES 2008 yang tidak boleh di tangkap dan dieksport keluar.

“Negeri Sabah melalui Jabatan Perikanan Sabah di bawah bidang kuasanya tidak pernah membenarkan perdagangan eksport, iaitu penetapan kuota sifar ke atas ikan yu dan pari hidup mahupun tersenarai di bawah CITES,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Mengulas lanjut, Jeffrey berkata pihaknya sentiasa mengambil langkah yang perlu dan wajar dalam melindungi spesies ikan yang terancam melalui penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 dan Akta CITES 2008.

Antaranya tidak pernah meluluskan lesen khusus kepada mana-mana vessel untuk menangkap ikan yu (shark fisheries) seperti berlaku di negara lain.

“Jabatan Perikanan juga telah memasukkan ‘larangan aktiviti penyiripan ikan yu iaitu pemotongan atau pemilikan sirip ikan yu di atas ‘vessel’ penangkapan ikan sebagai syarat tambahan lesen dan peralatan menangkap ikan sejak 25 Februari 2014.

“Kesalahan dan perlanggaran di bawah Akta Perikanan 1985 (Pengawalan spesies ikan terancam 1999), Seksyen 25(b) boleh dikenakan denda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa mengenai spesies terancam 2008 (Akta 686) denda Perlanggaran bagi Seksyen 10(a), orang perseorangan tidak melebihi Satu ratus ribu ringgit bagi setiap haiwan atau spesies atau, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Jeffrey turut mengulas mengenai penjualan ikan yu dan ikan pari yang dijual disalah satu daerah pantai timur Sabah sehingga menjadi tular di laman media sosial, baru-baru ini.

“Penelitian awal Jabatan Perikanan Sabah melalui berita dan gambar yang disiarkan dikenalpasti sebagai bamboo shark (chiloscyllium punctatum) dan spesies ini tidak dalam senarai sebagai speseis terancam.

“Manakala bagi spesies paru tanduk, ianya disahkan bukan dari spesies mobula birostris atau mobula alfredi yang tersenarai sebagai spesies terancam sama ada di bawah Akta Perikanan 1985.

“Sebagai makluman, terdapat lebih kurang 10 jenis pari tanduk (devil ray) dari genus mobula yang disenaraikan sebagai spesis terancam di bawah Akta CITES 2008,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *