Nizam
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan telah meluluskan Pelan Pembangunan Penjanaan (Power Development Plan) bagi memenuhi keperluan permintaan pengguna di Sabah.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata pelan terbabit telah diluluskan selepas mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah bersama Ketua Menteri dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) pada 12 Jun lepas.

Mengulas lanjut, katanya Pelan Pembangunan Penjanaan itu mengambil kira pertumbuhan organik dan keperluan beban oleh pengguna dari industri besar yang komited.

Menurutnya, strategi perancangan di dalam Pelan Pembangunan Penjanaan adalah dibahagi kepada tiga fasa.

“Fasa Penyelesaian Segera (2023 – 2025) adalah untuk mencapai jidar simpanan penjanaan (Generation Spare Capacity) ke tahap kukuh iaitu 30 peratus.

“Dengan erti kata lain, simpanan penjanaan perlu mempunyai lebihan 30 peratus (sekitar 300 Megawatt) berbanding beban maksima grid Sabah (yang kini telah mencecah hampir 1,100 Megawatt).

“Untuk tujuan ini, beberapa projek ‘fast-track’ telah diputuskan termasuk projek penyewaan powership berkapasiti 224 Megawatt yang akan beroperasi di pantai timur Sabah pada penghujung tahun ini.

“Fasa Penyelesaian Jangka Sederhana (2026 – 2030) adalah antara lain melibatkan penambahan kapasiti penjanaan daripada sumber hidro berjumlah sekitar 400 Megawatt, projek solar berskala besar berjumlah 100 Megawatt dan lain-lain projek penjanaan,” katanya.

Di samping itu, menurut Nizam terdapat juga projek talian penghantaran utama 275 kiloVolt iaitu penyiapan talian penghantaran sambung tara grid Sabah dengan Sarawak dan projek talian penghantaran Southern Link yang akan menghubungkan Sipitang dengan Tawau.

“Ini akan mengukuhkan kapasiti dan kestabilan grid Sabah untuk menerima permintaan beban besar terutamanya pengguna-pengguna industri pada masa akan datang,” katanya.

Disamping itu, Nizam turut menjelaskan bagi
fasa Penyelesaian Jangka Panjang (Selepas 2030) adalah tertumpu kepada mempertingkatkan potensi hidro elektrik di negeri Sabah melalui hasil kajian Pelan Pembangunan Hidro yang sedang dilaksanakan oleh Energy Commission of Sabah (ECoS).

“Penerokaan ke atas teknologi dan sumber penjanaan baharu akan juga dilaksanakan seperti Geothermal, Wind, Hydrogen dan Battery Energy Storage System (BESS).

“Perancangan sambung tara talian penghantaran di antara Sabah dan Kalimatan Utara akan juga diterokai berdasarkan hasil kajian kebolehlaksanaan yang akan dibuat pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Daud Yusof (Bongawan-WARISAN) mengenai penambahan kapasiti penjanaan tenaga elektrik di Sabah berbanding permintaan pengguna dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Sabah, hari ini.

Nizam pada itu turut memaklumkan pihaknya akan mengambil alih kuasa kawal selia Pembekalan Elektrik dan Tenaga Boleh Baharu pada 3 Januari 2024 melalui Persidangan Khas DUN Sabah.

Selaim itu, katanya pewartaan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Enakmen Tenaga Boleh Baharu 2024 serta pindaan Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah (dengan tambahan fungsi kawal selia elektrik dan tenaga boleh baharu) pada hari tersebut.

Nizam
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *