Dun
Hajiji (kanan) bersama Jeffrey, Joachim dan Shahelmey di dalam dewan persidangan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan tiga Rang Undang-Undang dalam Mesyuarat Penggal Keempat DUN Sabah Keenam Belas, pada Rabu.

Antara RUU yang diluluskan adalah RUU Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan) 2023, RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pindaan) 2023 dan RUU Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2023.

RUU Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan) 2023 yang dibentang oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif itu diluluskan selepas dibahas oleh lima pembahas.

Sesi perbahasan dikendalikan oleh Timbalan Speaker, Datuk Al Hambra Juhar selepas bacaan ketiga itu melibatkan ADUN Sebatik, Datuk Hassan A Gani PG Amir, ADUN Bugaya, Jamil Datuk Hamzah, ADUN Kunak, Norazlinah Arif, ADUN Sekong, Alias Sani dan ADUN Yang Dilantik, Amisah Yassin.

Manakala, RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pindaan) 2023 diluluskan selepas bacaan kali pertama, kedua dan ketiga yang dikendalikan oleh Timbalan Speaker, Datuk Richard Yong Ke Wong melibatkan ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob, Norazlinah dan Amisah.

Bagi RUU Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Masidi Manjun itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Speaker, Datuk Kadzim M. Yahya.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Timbalan-timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya, jemaah kabinet serta ketua-ketua jabatan negeri. — JABATAN PENERANGAN SABAH 




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *