Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi…

KUALA LUMPUR – Ketua pasukan pendakwaan perbicaraan rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, kini digugurkan.

Raja Rozela mengetuai pendakwaan 47 pertuduhan Ahmad Zahid iaitu 12 bagi pecah amanah, 8 berhubung rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan yang bersambung minggu lalu diteruskan tanpa kehadiran Raja Rozela namun tidak memaklumkan alasan di sebalik tindakan itu.

Sementara itu, Raja Rozela ketika cuba dihubungi sumber NST, enggan untuk memberi komen dengan alasan beliau seorang penjawat awam.

“Saya tidak dibenarkan untuk memberi komen. Minta maaf,” katanya.

Ahmad Zahid, 70, didakwa menggunakan dana yayasan untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, memindahkan wang ke firma guaman dan membuat sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zahid ketika membela diri pada 22 Mei tahun lalu memberitahu Mahkamah Tinggi, baki wang dalam akaun peribadinya lebih daripada mencukupi untuk membayar kad kredit miliknya tanpa menggunakan dana Yayasan Akalbudi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *