Mary
Mary (depan, tengah) bergambar kenangan bersama para tetamu yang hadir ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Program Doa Sayangi Malaysia wadah memupuk perpaduan dan keharmonian pelbagai kaum.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata program tersebut yang dilaksanakan di rumah-rumah ibadat pelbagai agama di negeri ini menerapkan sikap saling menghormati masyarakat pelbagai kaum.

“Program ini merupakan satu usaha murni pihak kerajaan untuk sentiasa mengekalkan negara Malaysia dalam keadaan yang aman, harmoni dan maju selain memupuk semangat perkongsian, saling menghormati dan menanam sikap toleransi antara kaum.

“Marilah kita bersama-sama berjuang menyuburkan lagi semangat perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini kerana ia merupakan warisan berharga yang harus dijunjung dan disanjung dalam menolak sebarang bentuk ekstremisme yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat kita yang pelbagai agama dan budaya.

“Meskipun kita terdiri dari pelbagai fahaman agama dan budaya namun sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan patriotik, adalah menjadi kewajipan kita untuk terus bersatu bagi mempertahankan kemerdekaan yang sedang dinikmati sekarang,” ujarnya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Setiausaha Tetap I Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Mary Isidore Malangking dalam Majlis Doa Sayangi Malaysia Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Sri Pasupathinath Alayam Temple And Hall, pada Ahad.

Sementara itu, Pengerusi Malaysia Hindu Sangam, Sabah State Council, Datuk Dr. K. Mathavan berharap agar program sedemikian dapat menyemarakkan lagi sikap toleransi dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Adalah menjadi harapan kami agar semua program yang dilaksanakan sempena sambutan hari kebangsaan seperti ini dapat menyemarakkan lagi rasa cintakan negara selain menjadi satu wadah perpaduan serta memupuk sikap toleransi dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Saya percaya, melalui sikap toleransi dan kepelbagaian agama mampu membentuk identiti nasional dan patriotik berlandaskan Perlembagaan dan Rukun Negara ke arah pembentukan masyarakat yang harmoni, “ujarnya.

Turut hadir, Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Program Doa Sayangi Malaysia 2023, Mackey Apison dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional, Delin Liet Blaun. — JABATAN PENERANGAN SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *