TUARAN, SABAH – Bulan Kebangsaan adalah masa terbaik untuk mengajak semua pihak menghayati nilai patriotisme dan memupuk perpaduan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, perpaduan dalam kepelbagaian kaum dan etnik perlu terus dipupuk serta dilindungi kerana ia adalah satu-satunya cara untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik yang berterusan.
“Tema “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” amat bertepatan kerana perpaduan kaum dan toleransi menjadi tonggak dalam mengekalkan kemerdekaan.
“Saya menyeru semua rakyat untuk terus bersatu dan bekerjasama bagi melindungi dan mengukuhkan perpaduan di negara ini khususnya di Sabah.
“Menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk memastikan kemakmuran dan kemajuan terus dinikmati dan tidak terganggu dengan anasir yang boleh menggugat perpaduan dan keamanan negara,” katanya ketika merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Daerah Tuaran di Astaka Padang Pekan Tuaran pada Ahad.
Hajiji turut berkata usaha Kerajaan Negeri dalam merealisasikan pembangunan yang dirancang khususnya di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) memerlukan sokongan padu dan kerjasama jitu daripada semua pihak.
“Pelaksanaan pelbagai inisiatif yang berimpak tinggi dibawah hala tuju SMJ yang memasuki tahun kedua pelaksanaannya mula membuahkan hasil dan negeri ini telah melakar pencapaian yang membanggakan melalui peningkatan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat negeri ini dalam tempoh berkenaan.
“Justeru dalam konteks ini, hubungan erat, persefahaman, toleransi dan perpaduan dalam kalangan rakyat di semua peringkat adalah sangat penting dalam menentukan kejayaan pembangunan di Sabah,” ujarnya.
Selaras dengan sambutan Bulan Kebangsaan, Hajiji turut menggesa rakyat mengambil inisiatif untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan bangga dan menggantikan bendera yang lusuh dengan yang baru.
Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Menteri Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai, Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd Datuk Jasnih Daya, Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Datuk Wilfred Madius Tangau, Pegawai Daerah Tuaran Hadzlan Jablee serta Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor.
Seusai majlis perasmian, Ketua Menteri kemudiannya membuat pelepasan kepada Konvoi KMJG Negeri Sabah 2023 anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sabah yang disertai lapan agensi kerajaan dan swasta melibatkan 17 kenderaan dengan 66 peserta yang membuat perjalanan hari pertama ke daerah Kiulu, Tamparuli dan seterusnya ke Kudat.
Turut mengiringi Konvoi KMJG Sabah adalah 100 peserta membabitkan 25 kenderaan dari pelbagai agensi di daerah Tuaran.