Op mabuk
Salah seorang suspek yang diuji kadar alkohol dalam darah menggunakan alat penguji nafas ( Sumber Foto Ihsan IPD KK )

KOTA KINABALU, SABAH – Dua pemandu mabuk berjaya ditahan semasa Op Mabuk dijalankan di Jalan Coastal sini pada awal pagi Sabtu.

Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah Kota Kinabalu melihat 10 pemandu diuji pernafasan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata kedua-dua individu terbabit telah melebihi had kandungan alkohol dalam darah yang telah ditetapkan.

“Mereka telah ditangkap dan disiasat bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika disabitkan kesalahan, mereka hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM30,000,” tegasnya.

Tambahnya, sebanyak 64 buah kenderaan serta seramai 64 individu telah diperiksa dimana tindakan advokasi telah diambil atas beberapa kesalahan lalu lintas.

“Antaranya di atas kesalahan nombor ‘fancy’ yang tidak mengikut garisan peraturan. Mereka dinasihati supaya menggantikannya dengan kadar segera.

“Op Mabuk ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengesan pemandu yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Orang ramai dinasihati supaya mengelakkan dari memandu kenderaan semasa berada di bawah pengaruh alkohol kerana tindakan sedemikian boleh mendatangkan risiko kemalangan terhadap diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain,” tegasnya lagi.

Operasi yang berakhir pada kira-kita jam 4 pagi diketuai oleh DSP Jo Ak Hang, Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Kinabalu melibatkan dua orang pegawai kanan polis dan dua belas anggota.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *