Sumber Foto: Travel Daily Media…

BANGKOK, THAILAND – Really Cool Airlines, syarikat baru dalam industri penerbangan Thailand, dijangka mula beroperasi selepas ia mendapatkan sijil pengendali penerbangan dari Penguasa Penerbangan Awam Thailand pada Disember.

Ketua Eksekutifnya, Patee Sarasin, 60, berkata syarikat terbabit sudah mendapatkan lesen untuk mengendali penerbangan daripada agensi berkenaan.

Beliau yang dipetik Berita Harian berkata, syarikat penerbangan yang berpangkalan di Bangkok itu akan dipasarkan sebagai penerbangan gaya hidup perkhidmatan lengkap.

Ia berhasrat menawarkan pengalaman unik kepada penumpang yang mahukan mutu khidmat antara penerbangan mewah dengan penerbangan bajet.

Menurut beliau lagi, Really Cool Airlines akan memulakan operasi dengan tiga pesawat Airbus A330 yang disewa. Setiap pesawat itu boleh membawa lebih 300 penumpang.

Patee berkata syarikat itu, yang menarik pelaburan lebih satu bilion baht ((RM131 juta) menetapkan matlamat menarik 70 peratus pelancong yang memasuki Thailand melalui udara.

Sebagai permulaan, ia akan menawarkan penerbangan ulang-alik di rantau ini termasuk ke Singapura, Tokyo, Hong Kong dan Taiwan manakala pada 2025, ia akan memulakan penerbangan ke Eropah.

Menurut Patee, Really Cool Airlines akan memberi tumpuan kepada laluan udara antarabangsa untuk mengelak daripada bersaing dengan penerbangan domestik mapan.

Really Cool Airlines ialah anak syarikat RC Airlines, yang dimulakan pada Mac tahun ini, dengan modal 200 juta baht (RM26 juta).

Patee ialah pengasas dan pengarah syarikat terbabit sementara pengarah lain adalah rakan-rakan beliau daripada industri lain.

Ketua Eksekutif Really Cool Airlines, Patee Sarasin…

Patee ialah mantan ketua eksekutif syarikat penerbangan bajet Thai, Nok Air. Beliau meletak jawatan pada 2017 untuk menubuhkan syarikat wadah pelancongan bernama Really Cool.

Beliau berkata, industri penerbangan yang teruk terjejas semasa pandemik COVID-19, terus berdepan beberapa cabaran dan masih melalui proses pemulihan yang perlahan.

Konflik Russia-Ukraine dan keruntuhan beberapa bank komersial juga memainkan peranan, kata beliau.

Syarikat penerbangannya kini sedang menggunakan teknologi baru dan idea inovatif untuk mengurangkan kos serta menambah keselesaan dan keselamatan penumpang.

Nilai industri penerbangan Thailand menguncup daripada 320 juta baht (RM42 juta) sebelum pandemik kepada 130 bilion baht (RM17 juta) pada tahun lalu, walaupun ada tanda-tanda pemulihan yang berterusan pada tahun ini.

Tujuh syarikat penerbangan utama menguasai bahagian terbesar pasaran, iaitu syarikat penerbangan negara Thai Airways International, Nok Ai, Thai Smile, Thai AirAsia X, Thai Vietjet, Thai Lion Air dan Thai Air Asia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *