Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Kita Hulu Kelang bersama Perdana Menteri di Padang Rumah Pangsa PKNS AU2 Taman Keramat…

BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kadar gaji lepasan ijazah merosot ke paras minimum antara isu yang akan dibincangkan minggu hadapan.

Memetik sumber Berita Harian, Perdana Menteri berkata, perbincangan itu akan dibangkitkan pada mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Gaji dan Pencen Penjawat Awam yang akan dipengerusikan beliau.

“Semua perkara ini kita akan ambil kira dan sudah dijelaskan. Umumnya kadar upah atau gaji penjawat awam rendah, termasuk polis serta tentera, termasuk yang tidak berpencen.

“Secara tradisinya sebelum ini, adalah untuk mengadakan penyelarasan (gaji) setiap 10 tahun. Namun, kini sudah menjangkau 12 tahun jawatankuasa itu tak bermesyuarat.

“Ini semua kita akan masukkan (pada mesyuarat minggu hadapan) dan insya-Allah (penyelarasan gaji) tertakluk kepada keupayaan ekonomi. Kita naikkan secara berperingkat,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia (PERKEM) ke-16 bertemakan ‘Ketahanan dan Keterangkuman dalam Memacu Pemulihan Ekonomi di Era Ketidakpastian Geopolitik, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara merangkap Pro Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Semalam, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, dilaporkan bimbang melihat kecenderungan gaji permulaan lepasan ijazah di negara ini tidak jauh beza berbanding paras gaji minimum pekerja tidak mahir, iaitu RM1,500 sebulan.

Rafizi dipetik menegaskan, apabila ada paras minimum terbabit, gaji permulaan lepasan ijazah sepatutnya naik lebih tinggi untuk menjarakkan daripada kedudukan itu.

Namun, dapatan awal statistik gaji setakat ini menunjukkan ia sebenarnya mengherot ke bawah, rapat kepada paras gaji minimum.

Terdahulu, Perdana Menteri ketika berucap pada persidangan PERKEM Ke-16, menggesa semua kepakaran dimiliki institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara diangkat bersama-sama dalam Kerajaan Persekutuan bagi memacu kemajuan lebih pesat.

Sehubungan itu, katanya, pengurusan IPT akan diminta memberikan laporan terperinci berhubung kepakaran, tenaga akademik dan penyelidik dimiliki mereka untuk dipadankan dalam pentadbiran negara.

Beliau berkata, usaha itu bagi memastikan wujud sinergi dan kerjasama langsung bersama IPT yang dapat dimanfaatkan oleh pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Perdana Menteri turut mengemukakan contoh membabitkan sinergi antara Kerajaan China dan kepakaran di universiti republik itu aktif dilakukan serta menguntungkan China.

“Bagaimanapun, di Malaysia perkara ini masih lagi terkait dengan pendekatan lama. Kepakaran universiti ini mesti diangkat sepenuhnya kerana ini belum dilakukan dan ia menjadi kerugian kepada negara.

“Justeru, saya minta laporan terperinci supaya universiti berikan bidang tenaga akademik dan penyelidik untuk kita sesuaikan di jabatan atau kementerian mana supaya ada sinergi dan dapaat dimanfaatkan (oleh kerajaan).

“Andaiannya jika ini dapat dilakukan dalam tempoh segera, kita boleh pacu ekonomi dan mencapai pertumbuhan enam peratus dalam masa singkat selain pelaburan negara juga boleh bertambah di luar jangkaan,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, pihaknya akan meminta Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi mendapatkan input daripada kepakaran dimiliki IPT bagi merangka Bajet Madani 2.0 yang akan dibentangkan, pada Oktober ini.

Saya minta input, teguran, kritikan daripada (ahli) akademik. Saya okay, tiada masalah. Jangan bimbang kalau ada ahli akedmik yang memberikan pandangan sedikit menyimpang, saya tiada masalah.

“Saya mahu kita bekerjasama sebagai satu pasukan, supaya ada sinergi jelas antara IPT dan kerajaan serta saya minta Kementerian Kewangan untuk Belanjawan Madani Kedua, pada Oktober ini,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *