Ums
Shahril memberikan cenderamata kepada Axel ( Sumber Foto: UMS )

KOTA KINABALU, SABAH – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima kunjungan hormat daripada Duta Perancis ke Malaysia, Axel Cruau, di sini, pada Selasa.

Kehadirannya disambut Naib Canselor, Prof. Datuk Dr Kasim Mansor bersama Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Shahril Yusof.

Dalam pertemuan tersebut, Axel menyampaikan hasrat kerjasama akademik antara beberapa universiti di Perancis bersama universiti-universiti di Malaysia termasuk UMS.

Menurut Axel, terdapat pelbagai aspek yang dapat diperkembangkan melalui kerjasama yang melibatkan kedua-dua negara.

“Melalui kerjasama ini, penyelidikan yang dijalankan akan dapat memberikan hasil yang lebih baik.

“Program pertukaran pelajar juga dapat membantu untuk mengeratkan lagi hubungan antara negara sekaligus memberikan peluang kepada pelajar untuk mempelajari gaya hidup di negara Malaysia dan Perancis,” katanya.

Axel juga menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama tentang semua yang berkaitan dengan lautan.

“Saya berharap agar dapat menjalin kerjasama dalam biologi marin, sains marin, perikanan bersama dengan universiti di Malaysia,“ ujarnya.

Axel turut berharap agar semua universiti-universiti di Malaysia dapat menghadiri persidangan yang diadakan di Kuala Lumpur bagi membincangkan lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

Sementara itu, Kasim mengalu-alukan hasrat berkenaan dan menyatakan UMS sentiasa terbuka kepada sebarang kerjasama akademik yang boleh memberi impak positif kepada kedua-dua pihak.

Hadir sama, Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik, Profesor Madya Dr Mohd Hanafi Ahmad Hijazi; Dekan Pusat Penataran dan Bahasa, Profesor Madya Dr Lai Yew Meng; Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo, Profesor Madya Dr Sitti Raehanah Muhamad Shaleh; dan Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi Institut Penyelidikan Marin Borneo, Prof Madya Dr Ching Fui Fui.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *