KOTA KINABALU, SABAH – Ketibaan lebih 1,000 pelancong Korea Selatan secara berterusan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada malam Rabu lalu mencetuskan suasana huru hara di lapangan terbang itu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, situasi itu berlaku susulan lima syarikat penerbangan dari Korea Selatan mendarat di lapangan terbang berkenaan pada jarak masa yang dekat.
Berdasarkan maklumat daripada Pengurusan KKIA, Liew berkata syarikat penerbangan itu ialah Jin Air yang tiba dari Incheon pada 9.47 malam membawa 385 penumpang.
Jeju Air yang tiba dari Incheon membawa 157 penumpang, Air Busan yang tiba dari Busan pada 10.40 malam dengan 193 penumpang, Jeju Air yang tiba dari Incheon pada 11.25 malam dengan 179 penumpang dan T’way yang tiba dari Incheon pada 11.49 malam dengan 184 penumpang.
“Saya dimaklumkan oleh Pengurusan KKIA bahawa kesemua 10 kaunter Imigresen yang ada telah dibuka pada malam itu.
“Saya juga menerima maklum balas daripada pemain industri pelancongan dan ahli komuniti perniagaan yang melihat keadaan itu bahawa kemudahan tandas di lapangan terbang tidak mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, Christina menggesa Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB) menyegerakan pelaksanaan menaik taraf kemudahan di KKIA kerana jelas terdapat keperluan mendesak untuk memanjangkan terminal di lapangan terbang ini.
“Jelas sekali, kita memerlukan lebih banyak kaunter imigresen, dan saya rasa konfigurasi semula kaunter adalah wajar untuk mengurangkan kesesakan dan melancarkan proses pelepasan,” katanya dalam satu kenyataan.
Liew melahirkan rasa kecewa kerana amaran awal beliau sebelum pembukaan semula sempadan antarabangsa tidak diambil berat oleh pihak berkuasa yang berkaitan.
Beliau menyeru pihak Pengurusan KKIA untuk memulakan kerja dengan segera untuk memanjangkan tandas sedia ada bagi menghadapi kebanjiran pelancong antarabangsa dan domestik.
Pada 25 Julai, beliau dimaklumkan oleh Pengurusan MASB bahawa MASB telah memperuntukkan sejumlah RM8.4 juta untuk menaik taraf kemudahan di KKIA, semasa kunjungan hormat kepadanya untuk memberi taklimat mengenai Pelan Pengoptimuman KKIA.
Daripada jumlah itu, RM1.4 juta akan dibelanjakan untuk menambah baik tandas awam di lapangan terbang dengan menambah lebih banyak bilik, manakala bakinya akan digunakan untuk projek naik taraf lain.
Ini termasuk penurapan semula landasan, dan menaik taraf lot komersial serta sistem alamat awam (PA).