Hajiji
Hajiji (tengah) mengabadikan gambar kenangan bersama dengan penerima ABCNS Ke-14 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan memandang serius isu ketidakhadiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 ke peperiksaan tersebut.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, berdasarkan laporan hanya seramai 34,461 pelajar daripada 40,147 yang mendaftar di Sabah menduduki peperiksaan SPM 2022.

“Laporan Menteri Pendidikan baru-baru ini hanya seramai 10,000 daripada hampir 30,000 calon yang tidak menduduki peperiksaan SPM 2022 mendaftar untuk ulangan peperiksaan tahun ini.

“Saya memberi perhatian serius terhadap isu ini di Sabah, kerana SPM adalah peperiksaan penting untuk masa depan anak-anak kita atau sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi.

“Justeru, berapa pun jumlah pelajar yang tidak menduduki SPM 2022 di negeri ini, ramai atau tidak, saya mahu Jabatan Pendidikan Negeri mengenal pasti kenapa mereka tidak hadir dan apa alasan mereka,” katanya semasa menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) Siri Ke-34 yang diadakan di Menara Tun Mustapha, pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah (YS) berkata, sejumlah RM668 juta telah dibelanjakan oleh Kumpulan YS dalam pemberian biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi yang memberi manfaat kepada seramai 41,221 orang pelajar Sabah.

“Semua itu dilakukan demi memberikan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan untuk memastikan mereka dapat mengakses pendidikan yang berkualiti.

“Seramai 715 orang pelajar telah mendapat manfaat dari program ABCNS yang telah menelan perbelanjaan sebanyak RM124.4 juta,” tegasnya lagi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Kadzim M.Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar. — JABATAN PENERANGAN SABAH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *