Sefuan
Sefuan Taha ( Sumber Foto: Gambar tular di Facebook )

PENAMPANG, SABAH – Misteri kehilangan Sefuan Taha, 33, yang dilaporkan hilang sejak 23 Julai lalu terjawab selepas mayatnya ditemui di dalam longkang di bahu jalan di Jalan Putatan berhampiran Kem Lok Kawi, di sini, pada Selasa.

Sefuan, yang bekerja sebagai seorang pembantu bot di Sutera Harbour ditemukan bersama motosikal miliknya oleh seorang pekerja pembersihan pada kira-kira 8.30 pagi.

Pekerja tersebut, Ibnu Ismail, 64, melihat tayar motosikal dalam longkang dan berfikur untuk mengambilnya untuk dijual.

Bagaimanapun beliau menemui mangsa dalam keadaan terduduk dan bertindak menghubungi polis.

Katanya pada Jumaat lalu, beliau dan rakan-rakan ada membuat kerja-kerja membersihkan rumput di berhampiran lokasi penemuan mayat namun tidak menemui sebarang petanda mencurigakan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata siasatan awal mendapati mangsa bergerak dari arah Kota Kinabalu ke Papar sebelum dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam longkang berkenaan.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses bedah siasat. Ahli keluarga mangsa sudah membuat pengecaman dan mengesahkan identiti mangsa.

“Orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *