KUALA LUMPUR – Konsert ‘Jamal Abdillah Live In Concert’ dijadualkan akan berlangsung pada 9 September ini bertempat di Plenary Hall, KL Convention Centre.
Pengarah Urusan Shiraz Projects, Shirazdeen Karim dalam satu kenyataan media berkata pihaknya tidak gentar mengambil risiko dengan menganjurkan konsert tersebut susulan Jamal masih mendapat tempat di kalangan peminatnya.
“Mungkin ada yang bertanya mengapa Jamal Abdillah? Dan jawapan saya mengapa tidak? Jamal Abdillah adalah satu jenama yang cukup kuat dalam industri muzik tempatan dan seorang figura yang sinarnya tidak pernah padam.
“Karakter serta pesona Jamal Abdillah itu
sendiri sudah cukup kuat untuk menarik peminat datang dan tidak pernah jemu untuk
melihat persembahan beliau.
“Itu belum lagi beliau melantunkan vokal ‘lelakinya’ dengan lagu-lagu malar segar seperti Azura atau Di Sudut Kamar Hatiku.
“Saya optimis Jamal Abdillah Live In Concert akan menjadi sebuah konsert yang gemilang dan menjadi satu lagi momen manis buat peminat semua,” katanya.
Sementara itu, Jamal Abdillah melahirkan rasa syukur kerana penganjur tempatan masih percaya malah terus menganjurkan banyak persembahan serta penyanyi lokal melakukan persembahan.
Melihat penganjuran Jamal Abdillah Live In Concert sebagai sebuah inisiatif bagus daripada Shiraz Projects dalam memastikan momentum ‘meraikan muzik’ sentiasa berada pada graf yang baik, juara Bintang RTM 1979 tersebut memberi jaminan peminat akan berpuas hati dengan persembahan daripadanya.
“Saya tertarik untuk melaksanakan Jamal Abdillah Live In Concert kerana konsep yang
dipersembahkan dan bagaimana saya boleh berinteraksi dengan peminat dalam suasana
atau skala yang lebih besar.
“Hal ini kerana saya biasanya terbabit dengan persembahan korporat tapi bila melakukan konsert tentulah ia akan dikuatkan bersama barisan pemuzik, susunan semula lagu-lagu yang dipilih serta persembahan saya juga perlulah mencapai piawaian konsert seperti yang diharapkan,” katanya.