Tun juhar
Tun Juhar (tengah) memberi tabik hormat kepada KKU semasa membuat pemeriksaan barisan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Dianggarkan 1,500 pengunjung hadir memeriahkan Majlis sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah di Padang Merdeka, semalam.

Selain kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, majlis tersebut diserikan dengan pelbagai pengisian antaranya Persembahan Sketsa Khas Covid-19 dijayakan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) sebagai pengelola.

Persembahan tersebut mengisahkan tentang perjuangan barisan hadapan bersama orang awam dalam membasmi penularan wabak Covid-19 yang menggemparkan negara pada tahun 2021 sehingga 2022 yang turut meragut banyak nyawa, diakhir sketsa, diselitkan kemenangan bagi seluruh Malaysia dengan penemuan vaksin seterusnya industri pekerjaan mula stabil seperti biasa.

Mengiringi persembahan ialah deklamasi puisi oleh Mohd Fauzi Jamikah dari Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah bertajuk ‘Barisan Hadapan, Taman Bangsa’ yang didedikasikan khas buat barisan hadapan yang berjuang menentang penyebaran Virus Covid-19.

Selain itu, perbarisan pembukaan oleh Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion 22 Rejimen Askar Melayu DiRaja terdiri daripada 148 anggota LLP berbaris masuk padang bagi menyambut ketibaan Tun Juhar seterusnya memberi tabik hormat turut menarik perhatian warga yang hadir.

Pada tahun ini, sebanyak 15 kontinjen dari badan kerajaan beruniform berpakaian seragam rasmi menyertai perbarisan statik sebagai tanda penghargaan kepada negara antaranya Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan Polis Bantuan Universiti Malaysia Sabah.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan dan Datuk Shahelmey Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip. — JABATAN PENERANGAN SABAH

 

 




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *