Sanusi
Calon Perikatan Nasional (PN), Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ( Sumber Foto: Laman media sosial rasmi Menteri Besar Kedah )

SIK, KEDAH – Calon Perikatan Nasional (PN), Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tiba di pekarangan Pejabat Tanah dan Daerah Sik kira-kira jam 9.10 pagi untuk mengemukakan pencalonannya bagi Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15).

Memetik sumber Berita Harian, kehadiran beliau diiringi kira-kira 2,000 penyokong. Sanusi melambai tangan ketika sampai di lokasi, gaya beliau itu seakan-akan sama seperti gambar ikonik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika gerakan reformasi.

Muhammad Sanusi dijangka akan berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim.

Bagi calon DUN Belantek, calon PN Ahmad Sulaiman dicabar oleh calon Pakatan Harapan (PH) Mazli Saipi.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi Jeneri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas menewaskan penyandang BN, Mahadzir Abdul Hamid dan calon PH Mohd Nazri Abu Hassan dengan majoriti 2,455 undi.

DUN Jeneri mempunyai lebih 35,079 pengundi dengan lebih 90 peratus daripada pengundi adalah Melayu.

Kerusi Belantek disandang PAS, Datuk Mohd Isa Shafie yang menewaskan penyandang BN, Datuk Mohd Tajudin Abdullah dan calon PH Abdul Rashid Abdullah dengan majoriti 2,574 undi.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *