Ewon
Ewon sekitar Hari Biodiversiti Sedunia 2023 dan Majlis Menandatangani Terma Persetujuan Bersama diantara Pusat Biodiversiti Sabah dan Komuniti Kampung Melangkap, Kota Belud, di Dewan Terbuka Kadamaian Square ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

KOTA BELUD, SABAH – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, daerah ini berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan dan kawasan perindustrian kecil dan sedarhana (PKS).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, ini kerana Kota Belud kaya dengan sumber alam semulajadi dari segi biodiversiti dan biobudaya.

“Pembangunan sesuatu kawasan bergantung kepada keberadaan sumber di kawasan berkenaan.

“Kota Belud yang terkenal dengan sawah padi, pergunungan yang indah dan sosio ekonomi seperti kuih panjaram, pembuatan parang dan pelancongan berasaskan alam semulajadi boleh dibangunkan dengan inovasi dan kreativiti serta pendekatan-pendekatan baru.

“Bersandarkan dengan kekayaan sumber alam semulajadi dan halatuju serta strategi pelaksanaan dengan bantuan teknologi terkini, saya percaya Kota Belud boleh dibangunkan bukan sahaja sebagai pusat pelancongan tetapi sebagai kawasan perindustrian kecil dan sedarhana kerana kedua-dua sektor ini saling berkait rapat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Biodiversiti Sedunia 2023 dan Majlis Menandatangani Terma Persetujuan Bersama diantara Pusat Biodiversiti Sabah dan Komuniti Kampung Melangkap, Kota Belud, di Dewan Terbuka Kadamaian Square, di sini, hari ini.

Ewon berkata, beliau menyokong usaha dan perancangan Kerajaan khususnya Pusat Biodiversiti, Jabatan Perhutanan, Taman-Taman Sabah serta Jabatan Hidupan Liar memastikan pembangunan biodiversiti menyumbang kepada pembangunan kawasan setempat.

“Saya percaya, kedudukan Kota Belud yang bersebelahan dengan Gunung Kinabalu boleh dibangunkan bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan, malah boleh dijadikan sebagai tumpuan penyelidikan kerana Kota Belud sememangnya kaya dengan flora dan fauna serta pengetahuan tradisi yang berkaitan atau biobudayanya.

“Saya amat mengalu-alukan usaha penyelidikan dan seterusnya pembangunan kepada khazanah asli dan turun-temurun ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, bagi memastikan kejayaan dan kemampanan sesuatu program menambahbaik kehidupan masyarakat melalui pemuliharaan biodiversiti ianya memerlukan komitmen dan ketahanan diri yang tinggi dari semua pihak.

Pada majlis itu Ewon turut menyaksikan upacara menandatangani Mutually Agreed Terms (MAT) diantara Wakil Penduduk Melangkap dengan Pusat Biodiversiti Sabah.

“Kawasan Kota Belud dipilih oleh Pusat Biodiversiti Sabah sebagai antara kawasan terawal untuk projek pengdokumentasian pengetahuan-pengetahuan tradisi sumber biodiversiti di Sabah.

“Saya berharap penduduk kampung atau pemilik-pemilik pengetahuan memberi kerjasama dalam program mengdokumentasi ini.

“Saya percaya hasil pengdokumentasian ini, kita boleh menerokai peluang-peluang baharu khususnya pembangunan industri kecil dan sedarhana daripada penggunaan sumber biologi berdasarkan pengetahuan tradisi,” katanya.

Ewon juga berharap agar usaha Pusat Biodiversiti Sabah memperkukuhkan sistem tadbir-urus sumber biodiversiti di negeri ini khususnva dalam mendokumentasikan pengetahuan tradisi untuk manfaat rakyat Sabah secara keseluruhannya.

Tema sambutan Hari Biodiversiti Sedunia tahun ini ialah “From Agreement to Action-Build Back biodiversity”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *