Ghulam
Jeffrey (empat dari kanan) memotong reben sebagai gimik perasmian Asrama PKS ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KENINGAU, SABAH – Pusat Kraftangan Sabah (PKS)  memperkenalkan Program Penanaman Bahan Mentah (PPBM) yang akan memberi manfaat kepada masyarakat di luar bandar mulai tahun ini.

Menurut Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulamhaidar  @ Yusof Khan Bahadar, program baharu itu melibatkan penanaman bahan mentah rotan dan buluh di kawasan tanah konsesi Yayasan Sabah seluas 200 ekar di Batu 38, Keningau.

“Inisiatif ini dijangka akan menjadi rantaian ekonomi yang berterusan dalam industri kraf tangan di samping menjamin kemampanan sumber bahan mentah berkenaan.

“Kumpulan Yayasan Sabah yakin pelaksanaan kursus-kursus secara insitu oleh PKS secara tidak langsung bertindak sebagai pemangkin dalam memajukan industri kraf tangan di negeri ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Ghulamhaidar memaklumkan, dengan sokongan padu daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU) dalam pembiayaan dana program sejak tahun 2012, PKS  memberi fokus kepada pembangunan modal insan dalam bidang kraftangan, sebelum menjenamakan semula program yang dijalankan iaitu Program Rural Integrated Craft Heritage (_RICH) pada tahun 2021.

“Program RICH memberi fokus kepada pembangunan dan pemantapan keusahawanan para peserta program dan menerusi program ini, para usahawan kraf tangan akan lebih mampan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran industri kraf tangan.

“Dalam hal demikian, sejak tahun 2011 hingga 2023, hampir 22,000 orang telah mendapat latihan di PKS dalam pelbagai bidang kraf tangan seperti batik, rotan, buluh, perkayuan dan sebagainya,” jelasnya.

Dedah beliau, PKS juga bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi seperti Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia dan SIRIM  bagi mendapatkan khidmat nasihat pakar dan teknologi dalam bidang-bidang tertentu.

“Menerusi Program Latihan Kraftangan dan Program RICH, PKS telah menyediakan platform kerjaya kepada bekas pesertanya di mana terdapat ada di antara mereka yang kini menjadi tenaga pengajar dalam bidang kraf tangan, manakala itu tidak kurang juga yang menjadi usahawan kraf.

“Ada juga bekas peserta kita yang melanjutkan pelajaran  di Institut Kraf Negara di Rawang Selangor. Usaha murni pihak kerajaan melalui program seumpama ini telah membolehkan peserta berusaha dan berdikari seterusnya berjaya keluar dari kekangan ekonomi masing-masing,” ujar beliau.

Tambahnya, berpandukan kepada Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang selaras dengan misi Kumpulan Yayasan Sabah bagi “Meningkatkan Kualiti Kehidupan Rakyat Malaysia di Sabah,” Kumpulan Yayasan Sabah melalui PKS telah melaksanakan pelbagai program untuk membantu masyarakat menjana pendapatan melalui pembuatan kraf tangan dalam usaha mencapai objektif mengurangkan kemiskinan.

“Program-program yang dibawa oleh Kumpulan Yayasan Sabah adalah berpaksikan kepada Pelan Pembangunan SMJ, hasil inisiatif Ketua Menteri Sabah yang antara lain menekankan keperluan untuk meningkatkan modal insan dan kesejahteraan rakyat.

“Atas komitmen ini, Kumpulan Yayasan Sabah akan terus menyokong agenda pembangunan SMJ dalam usaha untuk mewujudkan sebuah negeri yang progresif dan berjaya,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Asrama PKS di sini, pada Isnin.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.

PKS kini mempunyai 160 pelatih merangkumi 135 pelatih di bawah program RICH manakala baki 25 orang lagi sedang mengikuti kursus PPBM.

Di bawah RICH  terdapat 14 kursus seni kraf termasuk rotan kayu bambu serta canting tekstil batik seperti canting, batik digital dan jahitan yang berusia di antara 20 hingga 59 tahun.

Hadir sama pada majlis terbabit ialah Ketua Pengarah (ICU JPM), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin, Pembantu-Pembantu Menteri, wakil-wakil rakyat serta  para tetamu termasuk rakan-rakan strategik daripada ICU JPM, Pejabat Pembangunan Negeri Sabah dan Jabatan Kerja Raya Sabah — JABATAN PENERANGAN SABAH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *