Toh puan
Toh Puan Norlidah (dua dari kanan ) menerima cenderahati oleh Jamilah ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KUDAT, SABAH – Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni mencatatkan kemenangan dalam perlawanan persahabatan badminton menentang Puspanita Daerah Kudat.

Beliau bergandingan bersama pasangan regu, Asfar Arshad menewaskan lawan di pusingan akhir dengan pungutan mata 22-20, 17-21 dan 21-9.

Perlawanan persahabatan yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Halim Kudat itu menyaksikan dominasi Toh Puan Norlidah dari awal dengan menang bergaya di kesemua lima perlawanan yang beliau sertai.

Dalam perlawanan pertama, Toh Puan Norlidah berpasangan bersama Jumatiah Saharuddin menewaskan regu dari Puspanita Helda Yong dan Juini Wanda dengan kiraan 21-15, 21-13.

Pada perlawanan kedua, Toh Puan Norlidah menang bergaya bersama regu beliau Enna Oyoh menewaskan pasangan Puspanita, Hariah Julipli dan Raidah Halim dengan pungutan mata 21-12, 21-10.

Nur Aliah Mohd Nor menjadi pasangan regu ketiga Toh Puan Norlidah dalam perlawanan persahabatan itu dan mencatatkan kemenangan dengan kiraan mata 21-15, 21-18 menewaskan Normah Magasap dan Lili George dari Puspanita.

Pada pusingan keempat, Toh Puan Norlidah bergandingan bersama Asfar dalam acara beregu campuran menewaskan pasangan Morris Moliki dan Siti Rasnah Pinung dengan kiraan 21-13, 21-8.

Turut hadir dalam perlawanan persahabatan itu ialah isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tg Kapor, Datin Evelyn Kong dan Pengerusi Puspanita Kudat, Jamilah Kula. — JABATAN PENERANGAN SABAH

 




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *