Lktns
Pengerusi LKTNS, Datuk Abd Ghani Mohd Yassin (dua dari kiri) menerima cenderamata daripada wakil peneroka pada program Hari Muhibbah di Dewan Serbaguna blok 31, Apas ( Sumber Foto: Ihsan LKTNS )

TAWAU, SABAH – Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) telah membelanjakan sebanyak RM30.7 Juta bagi keseluruhan pantai timur dan RM12.2 Juta bagi Ladang Apas Balung/Merotai sepanjang tahun 2020 hingga 2023.

Pengurus Besarnya, Syaheddrul R Joddari berkata, perbelanjaan itu yang memberi manfaat kepada seramai 255 peneroka bagi kawasan seluas 1244 hektar melibatkan pakej ransangan ekonomi, naik taraf jalan ladang sedia ada, program pembekalan baja, penternakan kambing, pembinaan dan baik pulih rumah pekerja.

Pengerusi LKTNS, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin dalam ucapannya berkata pendapatan peneroka Apas Balung dalam tahun 2022 bagi tabungan ialah sebanyak RM2.8 juta dan sara hidup sebanyak RM6.8 juta. Sementara Ladang Merotai pula sebanyak RM1.54 bagi tabungan dan RM3 juta untuk sara hidup.

Menurutnya, purata pendapatan bulanan bagi tahun 2022 untuk peneroka Ladang Apas Balung seramai 199 orang adalah sebanyak RM4,035 sebulan seorang.

“Manakala peneroka Ladang Merotai pula adalah sebanyak RM6,884 sebulan seorang bagi seramai 56 orang peneroka”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Hari Muhibbah Bersama Peneroka/Peserta LKTNS 2023 Apas Balung di Dewan Serbaguna blok 31, Apas, di sini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild Awang, Ketua Pegawai Eksekutif Agro Bank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Pegawai Daerah Nabawan, Peter Jiton.

Syaheddrul berkata, bagi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), sebanyak 14 buah rumah bina baru dan lapan buah rumah baik pulih dilaksanakan di Ladang Apas Balung dan Ladang Merotai pada tahun ini, berbanding hanya 2 bina baru dan 11 baik pulih pada tahun 2021-2022.

Menurutnya, ekoran prestasi cemerlang LKTNS dalam melaksanakan PPRT bagi para peneroka dan pesertanya, lebih banyak peruntukkan telah salurkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi tujuan yang sama tahun ini, dan bakal melibatkan golongan miskin tegar dalam senarai e-kasih yang bukan peneroka dan peserta LKTNS.

Katanya, SLDB juga memperkenalkan SLDB E-Pay, sistem pembayaran menggunakan perisian digital bagi memudahkan para peneroka, peserta dan pekerja LKTNS untuk berurusan tanpa perlu pergi ke bank-bank dan kedai-kedai yang terletak di bandar.

“Perisian ini juga membolehkan pemindahan wang secara elektronik dan pembelian barang-barang keperluan harian menggunakan talian internet”, tegasnya.

Menyentuh Hari Muhibbah, Syaheddrul berkata ia merupakan platform untuk meningkatkan kesedaran tentang peranan LKTNS dalam pembangunan ekonomi dan sosial Negeri Sabah.

“Ini dapat membantu masyarakat menyedari pentingnya pelestarian dan pemajuan sektor pertanian dan perladangan.

“Melalui pertukaran maklumat dan pengetahuan, majlis ini memberi peluang kepada peneroka tanah dan peserta LKTNS untuk belajar dan berkongsi pengalaman serta kecekapan terbaik dalam bidang pertanian, perladangan, dan pengurusan sumber tanah.

“Majlis ini juga mencipta ruang untuk peneroka tanah dan peserta LKTNS berinteraksi secara langsung, bertukar pendapat, dan mengemukakan isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan dan kesejahteraan mereka. 

“Interaksi ini dapat memperkukuhkan hubungan mereka dan membantu meningkatkan kualiti kehidupan peneroka tanah,” tegasnya.

Sementara itu, LKTNS telah menandatangani
Memorandum Persefahaman bersama Agro Bank dan penyerahan mock kad pelan perlindungan takaful khas (insurans) kepada peneroka dan peserta LKTNS.

“Ini merupakan salah satu Langkah yang diambil oleh pihak LKTNS kerana prihatin terhadap kebajikan peneroka dan peserta yang terlibat,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *