Fahmi
Fahmi Fadzil…

SHAH ALAM, SELANGOR – Kakitangan Jabatan Penerangan dan ahli Komuniti MADANI dilarang menyertai sebarang bentuk kempen politik kepartian sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula 29 Julai hingga 12 Ogos depan.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata mereka tidak dibenarkan berkempen atas tiket parti, memakai baju serta mengibarkan bendera dan risalah parti serta calon bertanding.

“Tetapi ini tidak bermaksud Jabatan Penerangan bercuti (sepanjang tempoh kempen), tugas hakiki tetap dijalankan (memberi hebahan maklumat program kerajaan), begitu juga untuk Komuniti MADANI,” katanya dalam ucapan Majlis Penyampaian Watikah Penubuhan Rasmi Komuniti MADANI Selangor di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, di sini semalam.

Menurutnya arahan supaya penjawat awam tidak terlibat dalam kempen politik kepartian bukan perkara yang baharu.

Dalam pada itu, Fahmi berkata Komuniti MADANI adalah badan sukarela pelbagai kaum yang ditadbir urus Jabatan Penerangan bagi menerapkan nilai dan tonggak MADANI dalam kalangan masyarakat melalui komuniti.

Berperanan sebagai mata dan telinga kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, beliau berkata Komuniti MADANI merupakan jentera barisan hadapan yang sangat penting dalam menyalurkan maklumat dan dasar, serta mendapatkan input keperluan pembangunan di sesebuah kawasan.

Fahmi berkata pihaknya menyasarkan penubuhan 168 Komuniti MADANI di seluruh Selangor tahun ini dengan kira-kira 50 badan sukarela itu sudah ditubuhkan di Zon Tengah setakat 20 Julai lepas, melibatkan daerah Petaling, Klang dan Gombak.

“Saya yakin selepas PRN nanti, sasaran menubuhkan 87 Komuniti MADANI di Zon Tengah Selangor akan dapat dicapai,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

– BERNAMA




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *