Mukhriz
Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mengambil pendirian tidak akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini.

Memetik sumber Berita Harian, Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata parti itu sebaliknya akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan kedudukan bagi menyertai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Ditanya sama ada jika diberi peluang bertanding dalam PRN oleh Perikatan Nasional (PN), Mukhriz berkata, untuk tempoh tiga minggu akhir sudah agak terlewat untuk pihaknya mempertimbangkan sebarang tawaran sedemikian.

Mengakui ada usaha bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk PEJUANG bertanding, pihaknya masih belum menerima maklum balas rasmi dari PN mengenai perkara itu.

“Lebih baik kami (PEJUANG) tumpu kepada memperkukuhkan parti dan kekal berprinsip terhadap perjuangan,” katanya dalam satu sidang media selepas Program Amanat Presiden bersama pimpinan negeri dan sayap parti.

Mukhriz berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada Dr Mahathir berhubung PEJUANG untuk tidak bertanding dalam PRN akan datang.

“Berundur setapak bukan bererti berundur selamanya, kita akan terus menegakkan prinsip perjuangan parti.

“Kami (PEJUANG) bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir bahawa undi Melayu tidak seharusnya dipecahkan,’ katanya.

Beliau dalam pada itu turut memaklumkan jika ada tawaran saat akhir untuk bertanding dalam PRN, pihaknya dengan rendah diri terpaksa menolaknya.

Mukhriz berkata, keputusan untuk tidak bertanding itu diputuskan di mesyuarat exco PEJUANG minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak menghalang jentera parti itu turun padang dan membantu calon parti lain.

“Kami tidak halang, tetapi jangan guna nama PEJUANG secara rasmi. Itu hak mereka secara individu, namun tidaklah sehingga mereka naik ke pentas dan berceramah untuk parti lain,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *