Ewon
Ewon menyampaikan cek replika kepada penerima dalam Program Jom XCESS SME Bank Pusat Wlayah Sabah bertempat di Pasific Sutera Hotel ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, SME Bank satu daripada agensi di bawah kementerian itu menyalurkan pembiayaan lebih RM500 juta kepada 727 usahawan di Sabah.

Beliau berkata, setakat Jun tahun ini sahaja sebanyak RM48 juta nilai pembiayaan telah disalurkan kepada usahawan-usahawan dan tahun lepas RM168 juta.

“Ini satu jumlah yang amat memberangsangkan dan saya berharap dengan adanya program berterusan seperti ini, SME Bank dapat memberi pembiayaan atau perkhidmatan kepada lebih ramai usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sabah.

“Antara sektor pemangkin utama sektor perniagaan yang dikenalpasti oleh SME Bank bagi wilayah Sabah ialah industri pembuatan, pembinaan serta pelancongan untuk membantu kerajaan negeri membangunkan usahawan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jom XCESS SME Bank Pusat Wlayah Sabah, di Pasific Sutera Hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan Francais dan Vendor, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datin Azira Binti Othman, Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail, Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan SME Bank Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Ketua Pegawai Perniagaan SME Bank Zabidi Abdullah dan Penolong Kanan Ko-kurikulum Sekolah Kebangsaan Pekan Pensiangan Komprehensif 9 Aloysius Robert.

Terdahulu ketika berucap, Ewon berkata, pembangunan PMKS memerlukan kerjasama semua pihak termasuk agensi-agensi kementerian seperti SME Bank.

Beliau yakin, dengan adanya sokongan daripada SME Bank akan dapat membantu mempertingkatkan lagi sumbangan usahawan PMKS terhadap kemakmuran ekonomi negeri Sabah khususnya dan negara secara amnya.

Ewon berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bergerak aktif turun padang bagi mendekati komuniti usahawan negara.

“Antara inisiatif terkini yang diadakan ialah Minggu Usahawan Negara 2023, Minggu PMKS dan pelancaran Pelan Pemformalan Usahawan Informal.

“Selain itu Program Jelajah Keusahawanan Bersasar (JKEB) juga diadakan dengan mensasarkan kepada pemerkasaan usahawan wanita, orang asli serta bekas banduan. Program ini membuka peluang kepada mereka meneroka bidang keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif yang dilaksanakan oleh KUSKOP adalah antara usaha memastikan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul dan terangkum menjelang 2030 dapat dicapai.

“KUSKOP juga menyediakan pelbagai dana pemudah cara bagi tujuan peningkatan kapasiti usahawan dan koperasi negara. Melalui SME Bank, dana pembiayaan bernilai RM20 juta telah disediakan bagi Skim Pembiayaan Perusahaan Sosial bertujuan membangun dan memperkukuh perusahaan sosial.

“KUSKOP turut menyediakan dana keseluruhan bernilai RM11.5 juta khusus untuk CEDAR laksanakan empat program pembangunan kapasiti keusahawanan bagi tahun ini,” katanya.

Oleh itu beliau menyeru usahawan di negeri ini merebut peluang yang ada bagi memastikan usahawan bumiputera di Sabah dapat menyumbang kepada pencapaian 45 peratus sumbangan PMKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *