KOTA KINABALU, SABAH – Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad dinobatkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah 1445H/2023M.
Memulakan pendidikan di Maktab Perguruan Gaya Kota Kinabalu pada 1973 hingga 1974, Sapawi pernah berkhidmat sebagai guru sejarah selama tiga tahun di Sekolah Menengah (SM) Saint Patrick Membakut dari 1975 hingga 1977.
Semasa menuntut, beliau menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan aktif dalam sukan bola sepak bersama pasukan Sipitang Dream Team yang turut dianggotai oleh bekas pemain-pemain negeri Sabah.
Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1978 hingga 1981 dalam jurusan Sains Sosial.
Setelah berkhidmat di Sekolah Berasrama Limau-Limauan Kinarut, Papar, beliau berhijrah ke SM Sains Kota Kinabalu pada 1984 sebelum dilantik menjadi Penolong Pengarah Pendidikan Sabah (Bahagian Latihan Dan Kemasyarakatan) pada tahun 1988.
Sapawi yang dilahirkan pada 5 Julai 1956 juga pernah menjawat beberapa jawatan antaranya Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah, Pengarah Biro Tatanegara (BTN) Sabah, Pengarah Yayasan Sabah selain menganggotai Kabinet Negeri dan Ahli Parlimen Sipitang.
Anugerah disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS, pada Rabu.
Sementara itu, Johan Pertandingan Hafazan Al-Quran Kategori 1 hingga 30 juzuk Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Kebangsaan, Dian Karisma Mohd Japar, menerima Anugerah Khas Ma’al Hijrah 1445H.
Berimpian menjadi ustazah, anak kelahiran Tawau ini mewakili Sabah sebanyak tiga kali ke MTHQ Kebangsaan bermula tahun 2020 hingga 2022 bagi juzuk 1 hingga 20 dan kemudiannya pada tahun 2023 bagi juzuk 1 hingga 30.
Penyertaannya tahun ini menjadi detik terindah apabila julung kalinya mengangkat negeri Sabah sebagai Johan kategori Hafazan 1 hingga 30 juzuk beserta tafsir pada Jun lalu.
Beliau berharap kejayaannya menjadi pemangkin semangat dan dorongan kepada masyarakat untuk lebih mendalami, mencintai serta meletakkan ilmu Al-Quran sebagai keutamaan dalam kehidupan. — JABATAN PENERANGAN SABAH