Hajiji
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ( Sumber Foto: Gambar Google )

KOTA KINABALU, SABAH – Peningkatan RM300 juta dalam pemberian khas daripada Kerajaan Persekutuan adalah satu lagi petunjuk jelas bahawa Kerajaan Negeri berada di landasan yang betul ke arah mendapatkan hak Sabah seperti termaktub dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata Sabah mengalu-alukan keputusan jawatankuasa teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada Selasa.

“Yakinlah bahawa kami tidak akan berehat sehingga Sabah mendapat apa yang terhutang kepadanya seperti yang termaktub dalam MA63,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ketua Menteri mengulangi pendirian kerajaan negeri bahawa Sabah tidak pernah melepaskan hak ke atas hasil 40 peratus itu.

“Ini adalah penyelesaian sementara dan seperti yang disebut oleh Fadillah, rundingan masih diteruskan dengan jawatankuasa berasingan untuk menentukan dan memuktamadkan formula pemberian khas tahunan bagi dua negeri Borneo dalam tempoh setahun,” katanya.

Katanya, Sabah akan terus memperjuangkan hak pemberian khas mengikut Perkara 112C dan Seksyen 2 Bahagian IV dalam Jadual Kesepuluh, serta Perkara 112D perlembagaan persekutuan, yang memperuntukkan formula dan semakan kelayakan 40 peratus hasil bersih persekutuan itu berasal dari Sabah.

Selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa teknikal MA63 semalam, Fadillah berkata Sabah dan Sarawak akan menerima geran khas RM300 juta daripada kerajaan persekutuan tahun ini.

Geran RM300 juta itu merupakan peningkatan RM40 juta untuk Sabah berikutan geran RM260 juta diumumkan Putrajaya sebelum ini untuk negeri itu pada Januari, yang akan dibayar secepat mungkin, kata Fadillah, yang juga pengerusi jawatankuasa MA63.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *