Penampang
Seorang pemandu sedang diperiksa pihak IPD Penampang ( Sumber Foto: Ihsan IPD Penampang )

PENAMPANG, SABAH – Sebanyak 30 kenderaan telah diperiksa dan dua lelaki telah ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi bersepadu Op Mabuk.

Operasi di Jalan Kota Kinabalu – Penampang malam semalam dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Kontinjen Sabah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang DSP Sammy Newton berkata, individu tersebut ditahan di bawah Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika disabit kesalahan, hukumannya adalah penjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000.

“Sebelas saman di atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan, antaranya, tiada lesen memandu, tidak memakai tali pinggang keledar dan insurans kenderaan tamat tempoh.

“Operasi kali ini melibatkan kekuatan seramai dua pegawai kanan polis yang diketuai oleh Ketua BSPT IPD Penampang.

“Inspektor Jupri Usman dengan dibantu oleh 11 anggota polis berjalan dengan lancar dan telah berakhir jam tiga pagi tadi.

“Seramai 35 individu telah diperiksa dan operasi kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Sammy berkata operasi itu juga bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh dengan undang-undang lalu lintas yang telah ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, Sammy berkata semua elemen kepolisan digerakkan dalam menjayakan Operasi Bersepadu Mencegah Jenayah (OBMJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang yang diadakan.

“Objektif utama OBJMJ ini diadakan adalah bagi menunjukkan kehadiran polis di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai yang secara tidak langsung dapat mengurangkan potensi berlakunya jenayah di kawasan yang terlibat.

“Sebanyak dua sekatan jalan raya telah didirikan di Jalan Bundusan, Penampang dan Jalan Papar – Kota Kinabalu bagi mengekang isu ‘mat rempit’ dan kesalahan-kesalahan jalan raya yang lain.

“Manakala sembilan Pasukan Ronda Cegah Jenayah (RCJ) telah diaturgerak bagi membuat rondaan di taman – taman perumahan, kampung-kampung di sekitar Daerah Putatan dan Penampang bagi mencegah kejadian jenayah terutamanya kes pecah rumah serta curi kenderaan,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *