Mekah
Sekadar gambar hiasan ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

KUALA LUMPUR – Syarikat agensi pelancongan perlu memberi sokongan kepada kerajaan untuk mengadakan Pakej Umrah Rahmah, bagi membantu golongan B40 yang ingin menunaikan umrah sekali seumur hidup mereka.

Memetik sumber Harian Metro, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, kementerian sentiasa menggalakkan pengendali umrah mewujudkan Pakej Umrah Rahmah ini.

Menurutnya, syarikat penerbangan serta pengendali penginapan di Makkah dan Madinah boleh berbincang bersama untuk mendapatkan harga yang berpatutan bagi menawarkan Pakej Umrah Rahmah.

“Saya yakin berdasarkan kredibiliti dan kemampuan agensi pelancongan tempatan, mereka mampu memberi pakej harga terbaik terutama kepada golongan yang tidak berkemampuan.

“Tahun ini, Motac berharap lebih banyak Pakej Umrah Rahmah diperkenalkan kerana melalui data yang kita ada, banyak syarikat didapati mempunyai kemampuan untuk melaksanakan pakej seumpama ini.

“Contoh yang dapat kita lihat di sini, usaha Andalusia memperkenalkan Pakej Umrah Rahmah adalah tindakan yang positif untuk membantu golongan B40 dan golongan kurang mampu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran Pakej Umrah Rahmah CSR Andalusia di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Urusan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ibrahim Mat Sin dan Pengarah Merangkap Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris.

Khairul Firdaus berkata, beliau percaya pakej ini tidak merugikan atau membebankan syarikat, malah membantu masyarakat yang ingin menunaikan umrah untuk kali pertama.

“Saya berharap dan sangat menggalakkan syarikat pelancongan umrah Malaysia dapat membuat pakej yang sama dalam kapasiti kemampuan masing masing bagi merealisasikan saranan kerajaan Malaysia Madani,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia juga akan mewujudkan Hab Umrah di rantau Asean termasuk China, Jepun dan Korea tidak lama lagi.

Beliau berkata, perancangan itu dilihat bakal membantu agensi umrah selain menjadikan industri pelancongan Islam di negara ini semakin berkembang.

Menurutnya, sudah tiba masanya Hab Umrah diwujudkan bagi menjadikan Malaysia sebagai hab percutian dan umrah.

“Perkara ini akan dibawa ke kabinet untuk dibincangkan termasuk mengenai insentif kepada penggiat agensi pelancongan.

“Diharap Hab Umrah ini dapat diwujudkan tidak lama lagi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *