Ptptn
Logo Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) – ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

KUALA LUMPUR: Seramai 42,946 pelajar yang melanjutkan pengajian peringkat diploma di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sesi Julai 2023 akan menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 untuk menampung sebahagian perbelanjaan persiapan awal pelajar.

Memetik sumber Bernama, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, peruntukan berjumlah RM64.42 juta disediakan bagi tujuan itu.

Katanya, pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui portal rasmi PTPTN.

Pelajar boleh menunaikan WPP di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad di seluruh negara mulai 18 Julai ini dengan membawa surat tawaran WPP serta MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan).

“Tempoh sah laku WPP adalah dua bulan bermula 18 Julai hingga 18 September.

“WPP diberi kepada pelajar warganegara Malaysia yang bersetuju menerima WPP ketika memohon melalui UPUOnline atau portal kemasukan IPTA, ibu bapa atau penjaga pelajar adalah penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Sejak WPP diperkenalkan pada 1999 hingga 31 Mei 2023, seramai 969,046 pelajar sudah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.43 bilion,” kata PTPTN.

PTPTN sentiasa berusaha membantu ibu bapa dan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA, sekali gus komited memastikan tiada pelajar yang tercicir ke IPTA kerana masalah kewangan.

Pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN mengikut tarikh permohonan ditetapkan bagi setiap IPTA.

Ini bagi memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya manakala pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

 




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *