KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembuat kenderaan elektrik, Tesla, akan mula berpangkalan di Selangor tahun ini.
Pengumuman itu dibuat selepas Anwar mengadakan pertemuan maya dengan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX Elon Musk.
Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Pengarah Kanan SpaceX Lauren Dreyer.
Anwar berkata bahawa beliau mengalu-alukan keputusan untuk melabur di Malaysia dan menyatakan sokongan kerajaan untuk pembukaan ibu pejabat Tesla di Selangor.
Perdana Menteri menambah bahawa Malaysia akan terus mengukuhkan komitmennya untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
“Malaysia mempunyai rancangan dan ekosistem yang komprehensif, serta sumber daya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik,” katanya.
Tambahnya, penyertaan SpaceX dalam menyediakan perkhidmatan satelit Starlink ke Malaysia turut dibincangkan.
Anwar berkata ia membolehkan pencapaian internet yang lebih pantas dan lebih luas terutamanya di kawasan luar bandar kerana ia memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minimum untuk menambah baik rangkaian internet global.