Banggi
Mohd Haris bergambar bersama pegawai dan anggota Balai Polis Karakit, Pulau Banggi, Kudat

KUDAT, SABAH – Lupakan hasrat atau berdepan tindakan tegas. Demikian tegas Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berhubung aktiviti pemburuan haram di kawasan pulau berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan tindakan undang-undang lebih tegas akan dikenakan kepada mana-mana individu yang didapati berbuat demikan.

“Sama ada penduduk di pulau ini atau mereka yang datang dari daerah-daerah berhampiran yang mempunyai hasrat untuk melakukan aktiviti berburu haram di Pulau Banggi ini, lupakan hasrat itu atau berdepan tindakan undang-undang yang lebih tegas.

“Ini amaran dan saya pastikan mereka yang didapati melakukan aktiviti berburu secara haram akan diambil tindakan yang sewajarnya,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Balai Karakit, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aktiviti pemburuan haram yang semakin berleluasa di pulau berkenaan.

Mohd Haris berkata, selain tindakan tegas, pemantauan berterusan anggotanya secara menyeluruh seperti yang disarankan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, baru-baru ini.

“Pesuruhjaya Polis Sabah memaklumkan kepada masyarakat bahawa berlakunya aktiviti pemburuan haram di Pulau Banggi yang menjadi kebimbangan dan keresahan kepada masyarakat di pulau ini.

“Jadi kami Polis Daerah Kudat menyokong kepada saranan (Datuk Jauteh) untuk kita mempertingkatkan kawalan keselamatan di perairan dan juga daratan pulau ini,” katanya.

Jelas beliau lagi, dengan sokongan Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat, akan membantu usaha pemantauan dan juga mengetatkan lagi keselamatan di kawasan laut sebelum pemburu haram ini memasuki Pulau Banggi.

“Dalam masa yang sama di pulau ini sendiri, saya telah mengarahkan Ketua Polis Balai Karakit untuk mempertingkatkan kawalan dan membuat pemerhatian kepada bot-bot ataupun penumpang-penumpang feri yang masuk ke Pulau Banggi.

“Sekiranya terkesan ada individu yang kita syaki atau individu-individu luar yang cuba masuk menyusup ke kawasan pulau ini bagi tujuan berburu haram, jadi kita akan ambil tindakan yang tegas.

“Tapi setakat ini, tidak ada terkesan disebabkan mungkin pemantauan yang ketat oleh pasukan keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Haris berkata, masyarakat di Pulau Banggi supaya tidak merasa takut atau gelisah dengan keadaan ini kerana polis sentiasa memantau aktiviti ini.

“Sekiranya ada maklumat yang penduduk kampung di pulau ini tahu mengenai aktiviti pemburuan haram, kita mohon untuk disalurkan kepada Ketua Polis Balai Karakit, untuk kita ambil tindakan,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *