Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim…

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri memutuskan pencen dan pencen terbitan untuk pesara kerajaan bagi Julai hingga Disember 2023 dibayar menggunakan amaun pencen asal, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memetik sumber Berita Harian, Perdana Menteri berkata, ia selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun lalu bahawa Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 [Akta A1447] adalah tidak sah dan undang-undang sebelum pindaan adalah terpakai dengan sendirinya bagi tujuan penyelarasan pencen.

Katanya, amaun pencen asal adalah berdasarkan tafsiran iaitu bagi pegawai awam yang bersara sebelum 2013, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun Disember 2012 manakala pegawai awam yang bersara mulai 2013, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal ketika bersara.

“Perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal terus dibayar dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi menjadikan amaun yang diterima oleh pesara sama seperti amaun pencen semasa iaitu amaun pencen pada Jun 2023,” katanya dalam kenyataan.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan pindaan terhadap Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 kurang memberi manfaat kepada pesara perkhidmatan awam, justeru mengisytiharkannya sebagai terbatal dan tidak sah.

Panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara turut memutuskan peruntukan berkenaan yang membenarkan kenaikan kadar rata sebanyak dua peratus setiap tahun, bercanggah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan (perlindungan hak pencen) berbanding Akta Pelarasan Pencen 1980 sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa menghargai sumbangan pesara sepanjang berkhidmat dan prihatin dengan kebajikan pesara dalam situasi ketika ini.

Justeru, katanya, kerajaan juga akan mengkaji semakan gaji perkhidmatan awam dan akan turut membabitkan pesara perkhidmatan awam.

“Penyelarasan pencen akan dilaksanakan mengikut peratusan kenaikan yang ditetapkan selaras dengan Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238).

“Hasil keputusan ini diharap dapat memberikan impak positif kepada kakitangan awam, pesara perkhidmatan awam dan kerajaan,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *