Che engku
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik ( Sumber Foto: Ihsan Maritim Malaysia )

KOTA KINABALU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menasihatkan komuniti maritim terutamanya di negeri Sabah agar sentiasa berada dalam keadaan berwaspada berikutan negara sedang dalam fasa peralihan monsun.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, angin kencang dan laut bergelora amaran ribut dijangka bermula pada 13 hingga 20 Julai 2023.

“Berdasarkan kepada amaran petir yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, angin kencang barat berkelajuan 50-60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Sabah Barat dan Sabah Timur.

“Keadaan angin kencang sehingga 60 km sejam dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter amat bahaya kepada bot-bot kecil, pengusaha bot penumpang dan aktiviti rekreasi laut.

“Justeru itu, komuniti maritim dinasihatkan untuk peka dengan amaran yang telah dan akan dikeluarkan oleh pihak keselamatan dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau menegaskan pemakaian jaket keselamatan hendaklah diberi perhatian agar dapat mengurangkan sebarang risiko yang bakal berlaku.

“Komuniti maritim juga diingatkan untuk sentiasa mengutamakan keselamatan diri, memaklumkan kepada keluarga tujuan ke laut serta lokasi, memastikan bot selamat untuk digunakan dan sentiasa peka pada cuaca semasa.

“Sekiranya berlaku insiden di laut, komuniti diminta untuk terus menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan ditalian 088- 387774 yang beroperasi 24 jam,” katanya.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *