KKM
Logo Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Putrajaya: Notifikasi produk kosmetik Armila Beauty Kak ELL Pigment Booster dibatalkan kerana dikesan mengandungi racun berjadual dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Memetik sumber Bernama, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata produk kosmetik itu dikesan mengandungi ‘Betamethasone 17-Valerate’ iaitu ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau berkata penggunaan produk yang mengandungi bahan itu tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

“Betamethasone 17-Valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat,” katanya

Dr Muhammad Radzi berkata penjual dan pengedar produk kosmetik itu perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik berkenaan dengan serta-merta kerana ia melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya, kata beliau.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik itu dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.

Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *