LAHAD DATU, SABAH – Seorang wanita berusia 50an maut di dalam kenderaan Proton Saga yang bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux di Jalan Sabahan Lahad Datu – Tawau sini semalam.
Seorang jurucakap bagi Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah berkata terdapat lima orang mangsa menaiki kenderaan Proton Saga dilaporkan terlibat dalam insiden 3.30 petang itu.
“Seorang mangsa kanak-kanak telah dibawa ke hospital menggunakan kenderaan Klinik Kesihatan Lahad Datu sebelum pasukan bomba tiba dilokasi.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan empat orang mangsa yang tersepit.
“Tiga orang mengalami kecederaan parah manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS dan seterusnya dihantar ke Hospital menggunakan jentera EMRS dan Ambulan manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam kes berasingan di Tuaran, pemandu sebuah Toyota Hilux parah selepas terbabas melanggar sebuah rumah di Kampung Bunga.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah berkata mangsa 32 tahun tersepit dibahagian pemandu dalam kejadian 4.30 petang pada hari yang sama.
“Mangsa dikeluarkan oleh pasukan bomba dan seterusnya diserahkan kepada pihak ambulan untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.