KOTA BELUD, SABAH – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang lari dari rumah akibat berselisih faham dengan ahli keluarganya di Kampung Dudar, sini, ditemui selamat oleh orang awam.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, mangsa telah bertindak keluar dari rumah untuk tinggal di hutan pada malam Ahad lalu.
Bagaimanapun, panggilan kecemasan dibuat pada 7.54 pagi hari seterusnya.
“Mangsa dikatakan telah pulang ke rumah pada jam 3.30 pagi dan melarikan diri semula ke dalam hutan setelah mendapati terdapat ahli keluarga lain di rumah.
“Mangsa ditemui oleh orang awam dalam keadaan selamat pada jam 9.30 malam Isnin dan telah diserahkan kepada ahli keluarga mangsa,” kata seorang jurucakap bagi agensi.
Seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud termasuk 17 lagi terdiri daripada polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang awam terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat berkenaan.