Hajiji
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ( Sumber Foto: Bernama )

KINABATANGAN, SABAH – Plat nombor SMJ akan digunakan pada kenderaan milik kerajaan negeri sebagai pengiktirafan terhadap cogan kata Sabah, Sabah Maju Jaya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perkara itu sudah dipersetujui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Baru-baru ini apabila saya berjumpa dengan Pengarah JPJ Sabah, mereka bersetuju supaya plat SMJ adalah dikhaskan kepada kereta kerajaan negeri Sabah.

“JPJ mengkhaskan plat SMJ kepada kerajaan negeri sebagai pengiktirafan bahawa ia adalah satu hala tuju yang baik untuk Sabah,” katanya pada Himpunan Gagasan Rakyat Sukau dan Lamag di Dataran Pekan Sukau sini pada Sabtu.

Beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata tindakan pihak pembangkang yang menggunakan cogan kata Sabah Maju Jaya sebagai sindiran bukan sahaja tidak wajar, malah tidak menghormati negeri.

“Sabah Maju Jaya adalah cogan kata rasmi yang terkandung dalam jata atau lambang kebesaran Sabah sejak awal kemerdekaan kita.

“Inisiatif kerajaan menggunakan SMJ dalam pelan pembangunannya juga adalah untuk memartabat dan memperkasakan lagi cogan kata negeri Sabah yang sudah wujud sejak awal kemerdekaan negeri ini.

“Inipun SMJ jadi kritikan. Mereka yang dengki dengan kita, mereka yang dulu tiada hala tuju, kerana itu selalu mereka mempunyai fikiran negatif cakap SMJ jalan berlubang, SMJ tiada air.

“Inilah yang dilakukan pembangkang hari ini, niat tidak baik dan terlalu negatif kerana bagi kita SMJ adalah cogan kata yang mesti diperkasa dan dimartabat. Tiada orang guna ini sebelum saya tetapi saya guna ini untuk bangunkan Sabah,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *