Nizam
Nizam mewakili Ketua Menteri, Hajiji merasmikan Program Perhimpunan Permotoran Dua Roda “Sabah Moto Day” siri ke-6 di Padang Kawad Universiti Malaysia Sabah (UMS) – ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menambah baik dan meningkatkan keberkesanan strategi dan pendekatan dalam inisiatif yang memfokuskan pembangunan modal insan di kalangan para belia, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, kerajaan juga sentiasa terbuka untuk mendengar aspirasi anak-anak muda
dengan perkenalkan beberapa inisiatif yang dirangka dengan berpandukan syor dan
pandangan kelompok sasar melalui pelbagai platform libat urus yang telah dilaksanakan.

Menurutnya, ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk membangunkan belia sebagai aset dan golongan yang perlu diberi peluang dalam pembangunan ekonomi negeri.

“Justeru, pada tahun ini, Kementerian Belia dan Sukan Sabah diperuntukkan RM97.5
juta bagi pembangunan belia dan sukan. Bagi melahirkan pemimpin belia yang berkualiti tinggi, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sejumlah RM16.42 juta untuk melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia yang meliputi aktiviti
kesukarelawanan dan perpaduan sosial”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Perhimpunan Permotoran Dua
Roda “Sabah Moto Day” siri ke-6 di Padang Kawad Universiti Malaysia Sabah (UMS)
pada Ahad.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Datuk Abu Bakar Titingan.

Perhimpunan Hari Moto Sabah itu bukan sahaja disertai oleh belia dari Sabah juga dari Semenanjung, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Brunei Darussalam.

Katanya, belia adalah aset yang amat penting untuk tanah air dan merupakan generasi pewaris masa depan. Atas sebab itu, beliau amat bersetuju dan mengalu-alukan program-program yang amat bertepatan yang melibatkan generasi belia.

Beliau berkata, Perhimpunan Hari Moto Sabah merupakan program permotoran yang terbesar dan sering dinantikan oleh belia-belia negeri Sabah dan negeri jiran, yang dapat membantu mengeratkan sillatuhrahim sesama peserta, berkongsi kesedaran keselamatan jalan raya dan sekaligus menggalakkan belia menceburi sukan yang sihat bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam perlumbaan haram.

“Adalah sesuatu yang baik perhimpunan ini turut memberi input berfaedah kepada
semua peserta dengan menggabungkan program anti-dadah oleh Agensi Anti Dadah
Kebangsaan (AADK) iaitu taklimat “Ambil Dadah Tidak Cool” dan Ikrar Mat Moto Benci
Dadah.

“Saya juga gembira mendengar bahawa bersama-sama Kelab Bandar Belia Tuaran,
satu sesi penyerahan sumbangan ke rumah-rumah anak yatim juga turut diadakan oleh
penganjur dan para peserta yang terlibat. Ini merupakan amalan yang sangat mulia yang
telah ditunjukkan oleh para belia,” tegasnya.

Hajiji berkata, sukan permotoran popular dan tidak asing lagi di Malaysia kerana ia
membentuk persahabatan dengan menjalinkan jaringan dengan orang yang berkongsi minat yang sama selain mengkaji dan menimba ilmu yang lebih mendalam tentang permotoran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *