Sabah credit
George merasmikan pra-pelancaran YONO di Wisma Perbadanan Pinjaman Sabah ( Sumber Foto: Ihsan Perbadanan Pinjaman Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) telah melancarkan satu aplikasi hak milik kerajaan negeri YONO, sebuah aplikasi yang direvolusikan untuk memudahkan urusniaga keperluan kewangan dengan kelulusan segera.

Dalam ucapan pra-pelancaran YONO di Wisma Perbadanan Pinjaman Sabah Khamis lepas, Ketua Pegawai Eksekutif PPS, George Taitim Tulas berkata, PPS dengan sukacitanya mengumumkan pelancaran YONO, sebuah aplikasi canggih direka khas untuk mentranformasikan cara individu mengurus keperluan kewangan pada era digital ini.

Menurutnya, dengan ciri-ciri dan fitur inovatif dan rekomendasi peribadi, YONO membolehkan pengguna kekal di hadapan dalam landskap kewangan yang sentiasa berubah.

“Sejajar dengan kejayaan Sabah Pay, aplikasi pembayaran PPS, YONO melambangkan satu lonjakan ke hadapan yang signifikan dalam komitmen PPS untuk menyokong usaha kerajaan meningkatkan taraf ekonomi negeri dan perniagaan tempatan dengan menyediakan kemudahan berasaskan digital kepada rakyat Sabah.

“Aplikasi ini telah direka dengan terperinci untuk memenuhi keperluan kewangan unik setiap penduduk Sabah, dengan menawarkan pengalaman yang pantas dan mudah.

“Dengan YONO, pengguna boleh mendapatkan akses kepada platform kemudahan kewangan yang ekslusif, mudah, pantas, dan selamat.

“YONO, satu singkatan bagi You Only Need One sejajar dengan visi Perbadanan Pinjaman Sabah, iaitu, “Melakukan Perubahan” dan misi teras PPS, untuk mempermudahkan pembiayaan kewangan kepada pelanggan secara keseluruhan,” katanya.

George menekankan bahawa aplikasi YONO ini memberikan proses permohonan pembiayaan efisien, dengan kelulusan diperolehi pelanggan dalam seminit untuk pelanggan mendapatkan akses kepada dana yang diperlukan.

Aplikasi ini menawarkan dua produk utama iaitu Small Instant Credit Facility (Kemudahan Kredit Kecil Segera) dan Loyalty Instant Loan (Pinjaman Segera Kesetiaan) dimana produk-produk ini memenuhi pelbagai keperluan pembiayaan, yang memastikan fleksibiliti untuk setiap pengguna.

Mengulas lanjut, katanya aplikasi terbabit menawarkan had yang besar bergantung kepada produk yang dipilih.

Had pinjaman adalah RM1,000 atau RM5,000. Ini memberi kebebasan kepada pelanggan untuk mendapatkan jenis dan jumlah dana yang diperlukan.

“Aplikasi YONO menawarkan kadar yang sangat kompetitif, dengan potensi untuk mendapatkan kadar keuntungan serendah satu peratus. Ini bermakna pengguna boleh meminjam dana yang diperlukan sambil memastikan bayaran balik mampu dan terurus.

“Menyentuh tentang kebimbangan umum apabila mendapatkan kemudahan pinjaman semasa kecemasan, iaitu bagaimana untuk mengelak daripada pemberi pinjaman yang berkadar tinggi, penipu elektronik atau peminjam haram, dengan aplikasi YONO, kebimbangan sedemikian boleh diketepikan.

“Platform layan diri yang selamat ini bukan sahaja menawarkan kelulusan segera tetapi juga menjamin keselamatan data dan rekod pengguna.” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *