IPOH, PERAK – Seorang penyelia syarikat swasta kerugian lebih RM217,000 selepas menjadi mangsa sindiket ‘phone scam’ yang mendakwa wanita itu terlibat dalam kegiatan jenayah dan mempunyai waran tangkap ke atasnya.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri yang dipetik Bernama berkata, wanita berusia 38 tahun itu memaklumkan dia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mendakwa pekerja sebuah syarikat kurier pada 26 Jun lalu.
“Suspek pertama mendakwa terdapat bungkusan atas nama dan alamat mangsa dan setelah melakukan imbasan imej terdapat lima kad pengenalan, lima pasport dan lima kad bank.
“Mangsa kemudian menafikan bungkusan itu miliknya dan suspek pertama meminta mangsa melakukan laporan polis secara dalam talian sebelum panggilan tersebut disambungkan kepada seorang lagi wanita yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Jasmine dan kemudiannya menyoal siasat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohd Yusri menambah, mangsa kemudiannya disambung talian kepada suspek ketiga yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Wong yang mendakwa mangsa mempunyai waran tangkap atas kegiatan jenayah pengubahan wang haram termasuk pemerdagangan manusia.
“Mangsa akhirnya disoal siasat pegawai atasan iaitu Datuk Koh mengarahkan wanita tersebut mengikuti arahannya termasuk memindahkan segera keseluruhan wang simpanan dan pinjaman mangsa kepada enam institusi kewangan…
“Wanita itu yang panik telah mengikut arahan suspek dengan memindahkan wang sebanyak RM217,000 kepada beberapa akaun yang diberikan oleh sindiket tersebut sejak 27 Jun hingga 30 Jun lepas,” katanya.
Katanya, wanita itu hanya menyedari dia menjadi mangsa penipuan selepas menceritakan kejadian tersebut kepada rakan-rakannya pada Khamis lepas sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut pada Jumaat di Teluk Intan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan tidak mudah terpedaya dengan sindiket ini dan sentiasa membuat semakan dengan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, orang awam dinasihatkan agar tidak melayan panggilan yang tidak dikenali, maklumkan pasangan atau ahli keluarga tentang panggilan, semak dengan institusi kewangan dan balai polis terdekat serta jangan dedahkan maklumat peribadi perbankan kepada mana-mana pihak,” katanya.